Khamis, 8 Ogos 2019 | 4:40pm
SIKAP keterlaluan warganet menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa menggusarkan Namron. Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Namron tegur tindakan melampau warganet

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah terkenal, Namron, menegaskan tindakannya mempertahankan Syafie Naswip, berhubung isu dakwaan memukul tunang serta menjalin hubungan songsang bukan kerana dia memihak kepada pelakon itu,

Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 49, sebaliknya berkata, dia berbuat demikian untuk menegur tindakan melampau warganet yang sesuka hati menjatuhkan hukuman terhadap Syafie, tanpa usul periksa.

“Saya tidak berpihak kepada sesiapa dan dalam hal ini, saya bersikap neutral. Lagipun, hubungan saya dan Syafie tidak rapat seperti adik serta abang. Dia hanya rakan industri.

“Saya terpanggil untuk memuat naik video itu disebabkan sikap warganet yang semakin keterlaluan dalam memberi komen. Mereka tidak fikir panjang.

“Kadang-kadang, mereka terlalu cepat menjatuhkan hukum, walaupun belum terbukti individu itu bersalah. Perkara ini memberi gambaran yang tidak sihat dan perlu dikawal,” katanya.

Pemegang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29 itu berkata, dia tidak berseorangan dalam hal itu kerana selebriti lain turut menyokong tindakannya.

“Apabila saya buat video itu, banyak maklum balas positif yang diterima, termasuk daripada warganet yang menyokong usaha saya.

“Dalam kalangan artis, ramai yang memuji tindakan saya itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Warkah, di sini.

Ditanya pandangannya terhadap pelakon filem Mukhsin itu, pengarah filem One Two Jaga itu berkata, sepanjang mengenalinya, dia melihat Syafie sebagai seorang yang baik.

“Kami tidak pernah berlakon bersama, tetapi mengenalinya kerana pernah bertemu di luar. Dia baik, hormat pada orang yang lebih tua dan bersopan santun.

“Saya berkongsi pandangan yang serupa dengan beberapa individu lain. Insiden itu berlaku mungkin disebabkan provokasi. Orang yang baik ini, selagi boleh bersabar, mereka akan diam.

“Tetapi, kalau sering diprovokasi, lama-kelamaan mereka akan hilang pertimbangan dan bertindak di luar kawalan,” katanya.

1379 dibaca
Berita Harian X