Sabtu, 3 Ogos 2019 | 9:00am
PENYANYI, Khai Bahar, pada majlis pelancaran album pertamanya di Bandar Utama. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

'Jodoh' Khai, Nana panjang

KUALA LUMPUR: Selepas berduet menerusi lagu Satukan Rasa, jodoh Khai Bahar dan Siti Nordiana berlanjutan apabila mereka akan digandingkan sebagai teraju utama sebuah drama.

Menurut Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 25, penggambaran drama arahan Hadith Omar itu dijangka bermula pada hujung bulan ini.

“Sebelum ini, saya memang kurang pasti dengan keputusan untuk menceburi dunia lakonan. Apatah lagi saya sibuk dengan aktiviti nyanyian. Begitupun, keinginan untuk mencuba bidang berkenaan sememangnya ada.

“Berikutan ingin mencabar diri, saya cuba gapai impian berlakon di televisyen. Lagipun, menerusi drama terbabit, saya digandingkan bersama Kak Nana (panggilannya untuk Siti Nordiana). Jadi, gementarnya agak kurang kerana kami sudah ada keserasian dan saling mengenali.

“Jika ditawarkan bergandingan dengan pelakon wanita lain, mungkin saya perlu memikirkannya banyak kali,” kata penyanyi Luluh yang pernah membuat penampilan istimewa dalam drama adaptasi, Cinta Tiada Ganti.

Ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, Air Mata, Khai berkata, dia yakin Nana akan membantunya jika ada kekurangan dalam persembahannya nanti.

Enggan menjadi pelakon asal boleh, Khai juga mengambil inisiatif untuk mengikuti kelas lakonan, bersama-sama Nana, bagi mempertajamkan kemampuan di depan kamera.


SITI Nordiana dan Khai Bahar berduet menerusi lagu Satukan Rasa. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Sementara itu, Khai mampu tersenyum apabila albumnya yang diedarkan NAR Records, sejak 21 Julai lalu, sudah terjual lebih 4,000 unit.

“Saya dimaklumkan, bagi edaran pertama, mereka mencetak sebanyak 5,000 unit. Insya-Allah, melihat pada sambutan dan keterujaan peminat mendapatkan album fizikal ini, saya yakin cetakan seterusnya dapat dilakukan.

“Saya sendiri tidak sangka kerana tuah menyebelahi diri apabila memilih untuk terus mengeluarkan album fizikal. Ia khas untuk peminat yang terus menyokong kembara seni saya, sejak memulakan langkah dalam seni, tiga tahun lalu,” katanya yang turut dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Memuatkan 11 lagu, lima daripadanya adalah karya baharu, manakala selebihnya single yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

Pada majlis itu, Khai turut menerima penghargaan muncul artis pertama syarikat terbabit yang mendapat jumlah tontonan tertinggi bagi video muzik, iaitu menerusi Luluh. Ia ditonton melebihi 44 juta kali dalam tempoh dua tahun dikongsi di YouTube.

Berita Harian X