Jumaat, 2 Ogos 2019 | 9:00am
ADIRA dijadualkan melahirkan cahaya mata ketiga pada 8 Ogos ini. Foto NSTP

Adira hitung hari sambut anak ketiga

KUALA LUMPUR: Penyanyi Adira Suhaimi yang sedang menanti hari untuk melahirkan cahaya mata ketiga terpaksa membataskan pergerakannya kerana bimbang memudaratkan diri.

Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi berkata, dia sering berhadapan masalah mudah lelap, terutama ketika memandu, membuatkan dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

“Mengikut jadual, saya dijangka bersalin pada 8 Ogos ini. Berdebar juga kerana saya sedang menanti hari. Saya baru berjumpa doktor untuk pemeriksaan terakhir dan diminta supaya banyak berehat kerana sudah mula sakit, terutama pada bahagian pinggang.

“Hendak bercakap pun ‘mengah’ kerana berat badan saya kini mencecah 80 kilogram. Tidak banyak beza dengan kehamilan sebelum ini. Cuma, kali ini, saya lebih cepat penat. Mungkin ia berlaku kerana saya perlu menguruskan dua anak yang masih kecil iaitu Anggrek dan Assan.

“Saya juga mudah terlelap. Bayangkan ketika kereta berhenti di lampu isyarat, saya pernah tertidur. Untuk tidak membahayakan nyawa, saya elakkan diri daripada terlalu kerap memandu,” katanya.

Adira bagaimanapun, bersyukur tidak berdepan sebarang alahan, malah penyanyi yang popular dengan lagu Pujaan Hati itu menyedari dirinya hamil ketika kandungan memasuki usia lima bulan.

“Memandangkan saya melahirkan Anggrek dan Assan menerusi pembedahan, saya perlu mendapatkan nasihat doktor berhubung proses kelahiran cahaya mata ketiga. Saya berharap urusan bersalin nanti dipermudahkan.

“Saya akan berpantang di sini, mungkin ibu akan datang dari Sabah untuk memantau. Memandangkan saya sudah ada pengalaman, jadi saya tidak kekok untuk menerima kehadiran orang baharu,” katanya.

Adira mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

2517 dibaca
Berita Harian X