Khamis, 1 Ogos 2019 | 11:00am
ERNIE sentiasa menitipkan kata semangat untuk melihat Rosario muncul juara ASEAN Song Contest 2019. Foto IG Rosario

Kata semangat Ernie beri Rosario inspirasi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Rosario Ninih Chamini Bianis, tidak sesekali menganggap dirinya hebat apabila mengetepikan Ernie Zakri pada cabaran ASEAN Song Contest 2019 di Vietnam, baru-baru ini.

Rosario, 25, yang dinobatkan sebagai juara pada pertandingan yang berlangsung dari 25 hingga 29 Julai lalu itu, menyifatkan kemunculan Ernie di pentas sama menyemarakkan lagi semangatnya untuk memberikan yang terbaik.

“Semua tahu kehebatan bakat yang dimiliki Ernie, tetapi mungkin, kali ini rezeki lebih berpihak pada saya. Secara peribadi, saya sedih apabila Ernie tidak terpilih ke pusingan akhir memandangkan hanya kami berdua mewakili negara.

“Saya berharap sangat kami dapat meneruskan cabaran hingga ke peringkat akhir, namun bukan rezeki Ernie. Dia bagaimanapun, tidak pernah berhenti menyokong, malah kata semangatnya turut memacu saya untuk muncul sebagai juara,” katanya.

Pada pertandingan itu, Rosario yang juga juara Bintang RTM 2016 itu menewaskan 23 peserta lain, termasuk dari Filipina, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Jepun, Brunei, Kemboja, Thailand, Singapura, China dan Laos.

Rosario yang berasal dari Tambunan, Sabah memilih lagu Run, nyanyian asal Leona Lewis pada peringkat akhir.

Berkongsi detik kemenangannya, Rosario berkata, dia bersyukur dipilih RTM bersama Ernie untuk menggalas cabaran besar itu.

“Puji ke atas Tuhan kerana rezeki ini memang tidak disangka. Saya hadiahkan kemenangan ini untuk semua yang tidak jemu menyokong dari awal hingga kemuncak pertandingan,” katanya.

Berbakat besar, namun kurang mendapat perhatian peminat, Rosario berkata, dia tidak berkecil hati dengan situasi yang dilaluinya.

“Semua itu lumrah dan saya tidak berkecil hati. Meskipun nama belum menyerlah, rezeki saya tidak putus kerana masih menerima undangan menyanyi di sekitar Sabah.

“Saya tiada masalah, memandangkan keluarga menetap di sana. Sesekali, saya akan turun ke ibu negara bagi memenuhi undangan nyanyian,” katanya yang aktif menyanyi sejak 2014.

Rosario pernah tampil dengan single, Semua Dah Terjadi ciptaan Ajai, dua tahun lalu. Dia juga merancang tampil dengan single baharu dalam masa terdekat.

Berita Harian X