Rabu, 31 Julai 2019 | 3:08pm
SHENTY melahirkan anak lelaki sulung di sebuah pusat perubatan di Jakarta, pagi Ahad lalu. Foto IG Shenty Feliziana

Shenty Feliziana teruja sambut anak sulung

KUALA LUMPUR: Pelakon yang juga bekas pengacara program hiburan, Shenty Feliziana selamat melahirkan bayi lelaki sulung pada 28 Julai lalu.

Berita itu dikongsi isteri kepada pelakon Indonesia, Reuben Elishama itu menerusi laman Instagram.

Pelakon berasal dari Singapura yang popular menerusi filem Mael Lambong dan Mat Moto itu melahirkan anak sulungnya seberat 3.52 kilogram pada jam 7.16 pagi di sebuah pusat perubatan di Jakarta, Indonesia.

“Kehadirannya membawa cahaya dalam hidup kami, malah menjadi anugerah terindah yang melengkapi perkahwinan saya dan suami.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kami dan anak,” kata pelakon yang bakal muncul dengan filem Revenge Of The Pontianak, bulan depan.

Tambah Shenty atau nama sebenarnya Shenty Feliziana Sudirman, dia memang berharap untuk segera dikurniakan cahaya mata selepas diijabkabulkan pada 1 April tahun lalu di Villa Halia Botanic Gardens, Singapura.

“Saya memikul satu lagi tanggungjawab besar. Selepas melalui fasa sebagai isteri, saya kini menggalas tanggungjawab sebagai ibu pula. Sudah pasti, saya teruja meniti pengalaman baharu ini,” katanya.

Reuben dan Shenty mula berkenalan ketika menjalani penggambaran drama bersiri, Dosa, dua tahun lalu. Hubungan mereka berputik sejurus selepas penggambaran drama itu tamat.

Selepas mendirikan rumah tangga, Shenty mengambil keputusan untuk menetap di Jakarta bersama suaminya.

Berita Harian X