Isnin, 29 Julai 2019 | 8:30am
Menafikan taktik menarik penonton, Remy terbuka berdepan reaksi peminat apabila melihat aksinya tidak berbaju dalam filem Sangkar. Foto Zunnur Al Shafiq

'Bukan saja-saja tayang badan'

PETALING JAYA: Aktor sasa, Remy Ishak menolak andaian babak tidak berbaju dalam filem terbaru lakonannya, Sangkar adalah umpan menarik penonton ke pawagam.

Tegas Remy atau nama penuhnya, Mohammad Zalimei Ishak, 37, babak yang dianggap ‘separuh bogel’ itu hanyalah tuntutan kerja.

Ini kerana filem arahan Kabir Bhatia itu berkisar kisah seni mempertahankan diri campuran (MMA).

“Kebanyakan babak menyaksikan saya tidak berbaju itu hanya membabitkan adegan pertarungan.

“Bukannya saya saja-saja hendak tayang badan. Ini tuntutan kerja dan bukannya strategi publisiti murah menarik penonton.

“Kalau ada yang hendak kecam saya kerana babak itu, saya tak boleh buat apa-apa. Tak semua orang faham dengan kerja kita,” katanya kepada BH Online.

Selain Remy, filem Sangkar dibintangi Zul Ariffin, Mira Filzah, Ray Era, Nik Adam Mika dan ramai lagi.

Diusik andai aksinya dalam Sangkar boleh menimbulkan bermacam-macam reaksi kepada peminat, pelakon drama rantaian Pujaan Hati Kanda itu bersifat terbuka.

“Terpulanglah kepada mereka hendak fikir apa... Saya tak kisah. Malah, saya berbesar hati kerana selepas 15 tahun berada dalam industri, saya masih lagi diberi perhatian seumpama itu,” katanya yang dinobatkan Selebriti Lelaki Seksi oleh sebuah majalah gaya hidup, baru-baru ini.

Semalam, Remy menghadiri majlis prapelancaran Origina dan sesi ramah mesra bersama peminat di sebuah pasar raya, di sini.

Berita Harian X