Sabtu, 27 Julai 2019 | 6:49pm
KUMPULAN pop AKB48 ketika menghadiri sidang media persembahan mereka di pusat beli-belah Pavilion sempena Ekspo Jepun Malaysia 2019, hari ini. - NSTP/Aziah Azmee

Bukan mudah jadi penyanyi berkumpulan - AKB48

KUALA LUMPUR: Kumpulan pop Jepun, AKB48, akui bukan mudah untuk mereka bergerak sebagai sebuah kumpulan dalam industri muzik.

Begitupun, menerusi pendekatan merapatkan jurang antara anggota baharu dan lama, selain meminta pandangan mereka yang lebih berpengalaman, kumpulan itu mampu untuk bertahan.

“Paling penting, tidak wujud sebarang jurang antara penyanyi baharu dan lama kerana kami sememangnya rapat. Ada sahaja topik untuk dibincangkan antara kami, demi perkembangan kerjaya,” kata anggotanya, Mion Mukaichi, kepada BH Online.

Selain Mukaichi, hadir sama mewakili kumpulan terbabit bagi menjayakan persembahan di pusat beli-belah Pavilion, di sini, petang tadi, ialah Megu Taniguchi, Rin Okabe, Yui Oguri, Nana Okada dan Nagisa Sakaguchi.

Pada persembahan yang diadakan sempena Ekspo Jepun Malaysia 2019 itu, mereka menyampaikan enam lagu.

Sementara itu, kumpulan berkenaan turut menyatakan masing-masing menghormati artis yang terlebih dahulu bertapak di negara kelahiran mereka.

“Kami tidak menafikan kewujudan band yang lebih lama menapak dalam dunia muzik di negara kami. Kehadiran kami pula adalah untuk menyemarakkan lagi industri seni. Ia sekali gus memberikan perspektif berbeza, selain menarik minat generasi lebih muda,” katanya.

Ditanya mengenai kunjungan mereka ke sini, kumpulan itu meluahkan keterujaan apabila diberikan sambutan memberangsangkan oleh peminat Malaysia.

“Kami teruja melihat sambutan memberangsangkan yang diberikan peminat sejak tiba di lapangan terbang, semalam. Kali pertama ke Malaysia, kami sempat merasa sedikit sebanyak makanan tempatan yang popular.

“Cuma kunjungan kali ini agak singkat, jadi ia membataskan kami untuk mengunjungi lebih banyak tempat menarik,” kata artis berusia 21 tahun itu.

Berita Harian X