Sabtu, 27 Julai 2019 | 10:00am
PENGACARA dan pelakon, Nabil Mahir, terkejut apabila dikatakan bercinta dengan Ayda Jebat. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
AYDA Jebat dan Nabil Mahir digosip bercinta selepas berbalas mesej di laman sosial. - Foto IG Ayda dan Nabil

'Ayda hanya teman biasa'

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Nabil Mahir, 31, menyifatkan hubungannya dengan Ayda Jebat tidak lebih daripada kawan biasa.

Mengakui terkejut dengan gosip mengatakan mereka pasangan kekasih, Nabil menjelaskan, persahabatannya dengan penyanyi Temberang itu terjalin sebelum Ayda dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan pelakon, Redza Rosli lagi.

“Jujurnya, apabila timbul cerita mengatakan kami bercinta, saya memang terkejut. Bukan saya sahaja, keluarga dan rakan terdekat juga terkejut dengan berita berkenaan. Mereka turut meminta kepastian, apakah cerita itu benar ataupun sekadar gosip?

“Mungkin berikutan masing-masing masih single, ia menyebabkan ramai mengaitkan saya dan Ayda bercinta.

“Kami memang berkawan, namun tiada langsung kaitannya dengan soal sedang dalam fasa mengenali hati budi atau sebagainya,” katanya kepada BH Online.

Ditanya adakah Ayda kawan perempuan paling rapat, yang menjadi tempatnya berkongsi cerita atau mengadu masalah, dengan pantas Nabil menepis tanggapan berkenaan.

“Bagi saya, Ayda sama seperti kawan perempuan yang lain. Berkawan tidak semestinya kena selalu lepak bersama atau perlu mengadu masalah.

“Asalkan mempunyai persefahaman dan minat sama, ia sudah memadai untuk menjadikan kami sahabat,” katanya ketika ditemui pada majlis anugerah anjuran sebuah majalah, di sini.

Dakwaan konon Nabil dan Ayda bercinta mula timbul apabila kedua-duanya saling berbalas mesej di laman sosial. Malah, pemuda terbabit pernah meninggalkan komen berbunyi ‘I Love You’ di laman Instagram Ayda, selain berpakaian sedondon pada sebuah acara.

Sementara itu, Ayda, 27, yang turut berada di majlis sama, enggan mengulas perkara berkenaan, selain keberatan ketika diajak untuk merakamkan foto bersama Nabil.

3057 dibaca
Berita Harian X