Jumaat, 26 Julai 2019 | 7:27pm
ISMAIL Izzani dan Shalma Eliana ketika sambutan ulang tahun kelahiran penyanyi lelaki itu, April lalu. - Foto IG Shalma Eliana

Ismail Izzani, Shalma Eliana ibarat teman sejiwa

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ismail Izzani, menyifatkan hubungannya dengan bakat baharu, Shalma Eliana, ibarat teman sejiwa.

Belum memasuki fasa percintaan, Ismail atau nama penuhnya Ismail Izzani Zainal Nazeri bagaimanapun berkata, dia mengenali penyanyi Janji Terindah itu sejak di Tingkatan Dua.

"Kami sudah saling mengenali sejak di Tingkatan Dua lagi dan sememangnya rapat. Saya anggap perhubungan kami ibarat teman sejiwa. Kalau kekasih, ia sudah menjadi satu fasa ke hadapan. Kami belum sampai ke arah itu.

"Dia seorang yang sangat menyenangkan, baik hati dan bersifat terbuka. Selain keluarga dan teman rapat, Eliana juga antara yang sentiasa berada di sisi, ketika saya susah mahupun senang.

"Apapun, buat waktu ini kami mahu fokus pada kerjaya. Eliana sendiri sibuk dengan pengajiannya," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, keakraban antara kedua-dua artis remaja yang sering memuat naik foto bersama di laman sosial itu mengundang pelbagai spekulasi warganet.

Sementara itu, selepas kejayaan lagu Bidadari, Ismail, 19, tampil pula dengan single terbaru berjudul Cinta.

Katanya, lagu berkenaan mengisahkan seseorang yang sedang berbahagia bersama pasangannya. Akui Ismail juga, lirik Cinta yang ditulisnya turut menggambarkan situasi dirinya sekarang.

"Menariknya mengenai lagu ini, ia disiapkan dalam tempoh sehari sahaja. Secara ringkasnya, ia mempunyai rasa gembira dan lebih bersifat sejagat, tidak seperti bidadari yang lebih ditujukan kepada seseorang," ujarnya.

1080 dibaca
Berita Harian X