Khamis, 25 Julai 2019 | 3:33pm
AISHAH masih mencari kekuatan diri selepas ikatan pertunangan dengan Syafie terlerai, baru-baru ini. - Foto Rohanis Shukri

'Beri saya ruang untuk cari ketenangan'

KUALA LUMPUR: “Cukup saya katakan, saya bersyukur dengan petunjuk yang Allah berikan. Selebihnya, apa yang berlaku, biar hanya kami yang tahu.

“Soal cinta, saya ketepikan dahulu kerana ketika ini, fokus utama saya adalah kerjaya. Doakan yang terbaik untuk saya,” kata pelakon Aishah Azman.

Sekadar memberikan komen ringkas, Aishah turut memohon diberikan ruang untuk mencari ketenangan selepas ikatan pertunangannya dengan pelakon, Syafie Naswip terlerai, baru-baru ini.

Pendirian yang sama turut diambil Syafie apabila pelakon filem Mukhsin itu hanya memuat naik status ringkas di laman sosial menyatakan, jodoh dan ajal setiap manusia adalah ketentuan Allah.

Syafie juga berharap, semua pihak mendoakan yang terbaik untuk dia dan Aishah, selain kekal positif serta terus menyebarkan kasih sayang.

Status yang dimuat naik Syafie itu mendapat perhatian selebriti seperti Zarina Zainuddin, Rita Rudaini dan Bella Dally yang memberikan kata semangat, selain nasihat supaya dia terus kuat berdepan ujian hidup.

Kelmarin, Syafie mengesahkan ikatan pertunangannya dengan Aishah yang terjalin sejak 7 April lalu, terlerai. Persoalan mengenai status pertunangan Syafie dan Aishah mula tercetus apabila mereka memadam gambar bersama yang pernah dimuat naik di laman sosial masing-masing, beberapa hari lalu.

Tanpa mendedahkan butiran mengenai perkara itu, Syafie berkata, keputusan membawa haluan masing-masing dibuat selepas berdepan dugaan berat yang menyukarkan mereka untuk meneruskan hubungan.

Pasangan itu sebelum ini, pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga, akhir tahun ini.

4724 dibaca
Berita Harian X