Selasa, 23 Julai 2019 | 3:24pm
SYAFIE dan Aishah mengambil keputusan membawa haluan masing-masing selepas berdepan dugaan berat ketika bertunang. Foto NSTP

Syafie Naswip, Aishah Azman putus tunang

KUALA LUMPUR: Pelakon Syafie Naswip, mengesahkan ikatan pertunangan dengan bakat baharu, Aishah Azman yang terjalin sejak 7 April lalu sudah terlerai.

Tanpa mendedahkan butiran mengenai perkara itu, Syafie berkata, keputusan membawa haluan masing-masing dibuat selepas berdepan dugaan berat yang menyukarkan mereka untuk meneruskan hubungan.

"Pertunangan kami putus atas persetujuan bersama, tanpa campur tangan mana-mana pihak. Tidak ada orang ketiga atau masalah keluarga, tetapi dugaan bertunang terlalu berat, membuatkan kami tidak mampu meneruskan hubungan ini.

“Mungkin ini adalah keputusan yang terbaik untuk kami berdua. Mungkin juga dugaan paling besar, terutama dalam menguji kematangan saya,” katanya.

Syafie berkata, melihat dugaan yang tidak mampu diharungi itu membuatkan dia tidak dapat membayangkan ujian yang bakal mereka hadapi apabila berumah tangga kelak.

Pelakon filem Mukhsin itu juga berharap, penjelasannya itu meleraikan spekulasi yang timbul sejak beberapa hari lalu.

Persoalan mengenai status pertunangan Syafie dan Aishah mula tercetus apabila mereka memadam gambar mereka bersama yang pernah dimuat naik di laman sosial masing-masing, semalam.

Usaha BH Online mendapatkan penjelasan Aishah, bagaimanapun gagal. Syafie dan Aishah bertunang pada 7 April lalu dan dikatakan bakal mendirikan rumah tangga, akhir tahun ini.

Berita Harian X