Ahad, 21 Julai 2019 | 1:00pm
PENYANYI, Priscilla Abby, ketika menjayakan Festival GegaRia Edisi Kedua di Johor Bahru, tahun lalu. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Priscilla risau lenggok Melayu tak betul

KUALA LUMPUR: “Pada awalnya, memang saya sangsi dengan kemampuan diri menyanyikan lagu Melayu. Bahasa Malaysia bukan medium pertuturan harian saya. Jadi, saya bimbang andai tersalah lenggok atau bunyinya tidak kena. Namun, ia bukan alasan untuk saya tidak mencuba.”

Demikian kata penyanyi, Priscilla Abby, 22, ketika mengulas mengenai percubaannya untuk muncul dengan single Melayu berjudul Peluru.

Bernaung di bawal label WebTV Asia, bakat berasal dari Kuching, Sarawak ini mungkin masih asing dalam kalangan peminat muzik tempatan. Sebelum ini, dia memulakan langkahnya di pasaran muzik Cina, termasuk di Taiwan dan Hong Kong.

Dia dikenali sebagai bintang ‘mandopop’ dan menyerlah dengan genre muzik EDM (electronic dance music).

Priscilla pernah merakamkan dendangan seperti I Love The Sky dan Burn, selain lagu saduran yang dikongsi di saluran YouTube miliknya.

“Apabila difikirkan semula, saya memang tidak menyangka perjalanan kerjaya saya boleh melangkah sejauh ini dalam tempoh singkat.

“Dahulu, saya gadis yang tiada keyakinan dan rendah diri. Kini, boleh dikatakan saya cukup bersemangat dan mempunyai cita-cita tinggi,” katanya yang turut diberikan peluang merakamkan lagu tema filem Lee Chong Wei: Rise Of The Legend berjudul Cahaya Juara, bersama Nabila Razali.

Justeru, akuinya, dia ingin melebarkan sayap seni dengan menembusi pasaran muzik Melayu.

“Rasanya, kerjaya seni saya tidak lengkap jika tak mencuba pasaran lebih besar. Jadi, saya memilih lagu Peluru sebagai taruhan sulung.

“Semangat saya kian membara untuk mempunyai lagu Melayu sendiri apabila mendapat komen positif selepas menyanyikan semula Bidadari, dendangan asal Ismail Izzani.

“Selepas menyanyikan lagu itu, ramai peminat dari dalam dan luar negara yang menulis, meminta saya cepat-cepat merakamkan single Melayu,” katanya


PENYANYI lagu tema filem Lee Chong Wei, Nabila Razali (kanan) Priscilla Abby, ketika menghadiri majlis tayangan perdananya di Stadium Bukit Jalil. - NSTP/Salhani Ibrahim

Peluru yang dilancarkan di semula platform digital pada 5 Julai lalu adalah hasil ciptaan Omar K dan John Jeeves.

Selain memperbanyakkan latihan menyanyikan lagu dalam bahasa kebangsaan, Priscilla juga mengikuti kelas Bahasa Malaysia di bawah kelolaan Altimet.

“Saya bertuah apabila dikelilingi insan berkarisma dan mempunyai kredibiliti dalam bidang masing-masing. Walaupun saya gusar dan gementar, mereka sentiasa memberikan galakan,” katanya yang menganggap Peluru bukan sekadar memberi seribu makna buat dirinya, malah karya yang mempunyai mesej mendalam.

Katanya, ia lagu cukup kuat dengan aura positif, yang mengajar orang ramai mengenai perjuangan dalam mengejar impian.

1804 dibaca
Berita Harian X