Jumaat, 19 Julai 2019 | 7:59pm
Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Bukan nak lawan gosip cinta bekas isteri - Hafiz

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Hamidun, menyangkal tanggapan ingin berlumba-lumba dengan gosip cinta bekas isteri, Joy Revfa, apabila berkongsi mengenai perkembangan dirinya sedang mengenali hati budi seorang ‘instafamous’ dikatakan berstatus janda.

Menegaskan masing-masing sudah meneruskan kehidupan, Hafiz berkata, dia sekadar ingin berkongsi keterujaan di media sosial apabila berbuat demikian, bukannya ingin menunjuk-nunjuk kebahagiaan dirasakan saat ini.

“Saya langsung tidak mempunyai niat untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya pihak di luar sana yang membuat spekulasi sendiri. Saya sudah berusia 35 tahun... Buat apa hendak berlumba-lumba mempamerkan kebahagiaan?

“Saya bagaimanapun tidak menyangka perkongsian yang dimuat naik di Insta Story menjadi bualan ramai. Sama seperti orang lain, saya juga ada perasaan teruja dan bahagia apabila berkenalan dengan orang baharu.

“Perkenalan kami adalah secara jarak jauh. Ketika ini, saya dan dia masih pada peringkat mengenali hati budi,” kata Hafiz ketika dihubungi BH Online, hari ini.

Mengharapkan orang ramai mendoakan yang baik-baik untuk dirinya dan bekas isteri, penyanyi yang dikenali dengan lagu dakwah itu berkongsi, dia mula berkenalan dengan wanita berkenaan sejak beberapa bulan lalu, menerusi kenalan masing-masing.


PERKONGSIAN Hafiz di IG Story yang membongkar dirinya kini sedang mengenali hati budi seorang ‘instafamous’.

Sebelum itu, bekas isterinya yang juga usahawan kosmetik berkongsi gambarnya bersama lelaki yang ditutup wajahnya dengan emoji cinta.

Namun, warganet dengan pantas membuat tekaan, lelaki berkenaan ialah pelakon, Fahmy Reza, yang kemudian tampil membuat kenyataan tidak menolak andai jodohnya bersama usahawan terbabit.

Joy pernah dua kali mendirikan rumah tangga, termasuk dengan Hafiz. Mereka bercerai pada 25 Oktober 2017.

Berita Harian X