Jumaat, 19 Julai 2019 | 6:01pm
FIZO dan ibunya, Hasnah Jidin, pada sesi pertemuan bersama wartawan di Bangi, hari ini. - NSTP/Rosela Ismail

Ibu Fizo sedih dituduh punca cerai

BANGI: Ibu kepada Fizo Omar, Hasnah Jidin, 59, sedih apabila dituduh menjadi punca perceraian pelakon dan usahawan itu dengan bekas isterinya, Mawar Abdul Karim.

Dengan nada sebak, Hasnah berkata, ibu mana yang mahu melihat anak bercerai-berai dan tidak bahagia.

"Saya terasa apabila dituduh menjadi penyebab perpisahan Fizo dan Mawar. Bukan saya tidak rapat dengan Mawar, malah menjaganya dengan ikhlas ketika dia sakit dan bersalin. Hubungan saya dengan Mawar tidak bermasalah selama ini.

"Saya tidak mampu melelapkan mata apabila timbul kenyataan seolah-olah saya menjadi penghalang kebahagiaan Fizo dan Mawar.

"Saya lebih berkecil hati apabila ada yang menuduh keluarga Fizo menumpang kesenangan Mawar," katanya dalam pertemuan bersama beberapa wakil media di sini, petang ini.

Hasnah mendakwa, dia sering memberikan nasihat kepada Mawar dan Fizo, tetapi tidak pernah mencampuri urusan rumah tangga mereka.

"Saya tidak pernah menghasut Fizo dengan perkara yang bukan-bukan. Saya selalu menasihatkan mereka jika ada masalah timbul.

"Ketika mereka nak berpisah, saya ada bercakap dari hati ke hati dengan Mawar, tetapi dia tetap mahu berpisah dengan Fizo," katanya.

Hasnah juga mendakwa, dia tinggal bersama Fizo sejak anaknya belum mendirikan rumah tangga.

"Atas persetujuan bersama, saya duduk sebumbung dengan mereka selepas berkahwin, tetapi bukan sepenuhnya.

"Saya berulang alik ke rumah anak yang lain juga. Bagaimanapun, saya tinggal di rumah lain, sejak enam bulan lalu. untuk memberikan ruang privasi sebelum mereka bercerai," katanya.

Fizo dan Mawar sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, kira-kira jam 10.45 pagi, 10 Julai lalu.

Berita Harian X