Jumaat, 19 Julai 2019 | 3:37pm
PELAKON dan pengacara, Mira Filzah, semakin mendapat perhatian ramai dalam industri hiburan tempatan. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Mira tak mampu tepis tarikan 'hero pujaan Malaya'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Mira Filzah, mengaku dia tidak mampu melepaskan peluang bergandingan dengan dua aktor terkemuka, Remy Ishak dan Zul Ariffin, dalam filem Sangkar.

Tarikan dimiliki dua bintang berkenaan, selain naskhah itu sendiri diarahkan oleh sutradara terkenal, Kabir Bhatia, membuatkan Mira yang juga seorang pengacara popular menerima tawaran membintangi filem aksi terbabit tanpa berfikir panjang.

“Undangan membintangi Sangkar tentu sahaja tidak mampu saya lepaskan. Siapa yang tidak mahu bergandingan dengan dua ‘hero pujaan Malaya’ ini?

“Mereka berdua nyata mempunyai kekuatan tersendiri dalam industri lakonan tanah air,” katanya ketika ditemui pada sidang media filem berkenaan, baru-baru ini.

Filem yang akan menemui penonton mulai 29 Ogos depan itu menyaksikan kerjasama strategik empat syarikat, Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan MM2 Entertainment.

Menerusi filem terbabit, Mira dan Remy bagaimanapun bukan beraksi sebagai pasangan kekasih, seperti dapat disaksikan menerusi drama popular, Pujaan Hati Kanda dan Lelaki Kiriman Tuhan.

“Sebenarnya, inilah filem pertama yang menemukan saya dengan Remy di layar perak. Dalam Sangkar, dia berlakon sebagai abang saya.

“Kali kedua pula, kami ditemukan dalam filem Rise: Ini Kalilah, yang terlebih dahulu menemui penonton. Cuma dalam filem itu, watak kami tiada kena mengena dan hanya berjumpa pada pengakhiran babak. Seterusnya kami digandingkan dalam drama,” katanya.


PELAKON, Zul Ariffin (kiri), Mira Filza dan Remy Ishak pada majlis pelancaran filem Sangkar di Petaling Jaya. - NSTP/Rohanis Shukri

Dalam pada itu, Mira memanjat kesyukuran kerana namanya turut berada dalam pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 (ABPBH 32) bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil Popular dan Pengacara TV Popular.

"ABPBH sangat mengujakan kerana sentiasa menghadirkan pelbagai kejutan. Sama ada terpilih atau sebaliknya, semua yang bersaing harus bersikap terbuka. Di sebalik semua itu, acara ini mendekatkan kelompok artis dengan peminat.

"Selalu kita melaungkan, tanpa peminat, siapalah kita? Jadi, inilah masa terbaik untuk menyatakan penghargaan terhadap usaha peminat yang bersusah payah meletakkan kita pada tahap terbaik.

"Soal kalah atau menang itu perkara lain. Kepercayaan yang diberikan peminat memberikan saya motivasi untuk terus berusaha mempertahankan nama. Ia bukan mudah, malah menuntut komitmen tinggi dan pengorbanan,” katanya.

Bersama Alha Alfa selaku penaja utama, ABPBH 32 akan mencapai kemuncaknya pada 22 September depan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

2839 dibaca
Berita Harian X