Khamis, 18 Julai 2019 | 5:03pm
AYDA enggan isu hubungannya dengan Redza dibangkitkan kerana mahu menjaga hati pelbagai pihak. Foto Aziah Azmee

'Jangan babitkan orang lain dalam hal kami'

SERI KEMBANGAN: Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat, berharap tiada pihak lain dikaitkan ketika pelbagai pihak cuba mencari kepastian mengenai spekulasi hubungan baiknya dengan Redza Rosli yang dikatakan sudah berakhir, baru-baru ini.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 27, berkata dia terkejut apabila pelakon Oktovia Manrose, tiba-tiba terheret dalam isu itu, sedangkan perkara yang diperkatakan hanya membabitkan dia dan Redza.

“Saya terkejut apabila nama Oktovia dikaitkan dalam hubungan kami. Apa yang berlaku, itu antara saya dan Redza, jangan babitkan orang lain.

“Jika isu yang timbul itu dikatakan sebagai punca kononnya hubungan kami renggang, saya tidak mahu ambil tahu kerana ia tiada kaitan dengan saya,” katanya.

Ketika diminta mengulas spekulasi hubungan baiknya dengan Redza yang dikatakan sudah berakhir, Ayda mengambil pendirian untuk tidak memberikan sebarang pengesahan.

Pelakon Pinjamkan Hatiku itu berkata, pendirian itu diambil kerana dia dan Redza sudah bersetuju untuk tidak membangkitkan perkara itu demi menjaga hati pelbagai pihak.

“Saya tidak mahu menafikan atau mengiyakan kerana berdasarkan kenyataan yang pernah diberikan sebelum ini, kami hanya berkawan baik. Jadi, tidak timbul istilah putus cinta, berpisah atau tiada jodoh.

“Kalau boleh, saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini kerana perlu menjaga hati pihak lain, terutama keluarga saya dan Redza. Lagipun, kami sudah bersetuju untuk tidak memberikan apa-apa kenyataan dan itu yang terbaik,” katanya.

Penyanyi lagu Temberang itu juga berkata, dia sentiasa profesional dalam urusan kerjaya dan tidak menolak sekiranya kembali digandingkan dengan Redza.

“Bagi saya, selagi kita boleh bekerja dalam situasi profesional, saya tiada masalah untuk terus bergandingan dengan Redza. Namun, saya tetap berharap dapat digandingkan dengan pelakon lain untuk keluarkan lagi potensi diri apabila dipertemukan dengan pasangan berbeza,” katanya.

Berita Harian X