Khamis, 18 Julai 2019 | 1:12am
Entri dimuat naik Yatt mengenai keadaan suami dan anggota delegasi #wakeupforGaza yang dikatakan terperangkap di pintu sempadan Rafah. - IG Yatt Hamzah

Yatt risau nasib suami di Rafah

KUALA LUMPUR: Pelakon Yatt Hamzah bimbang nasib suami dan delegasi misi #wakeupforGaza yang didakwanya ketika ini terperangkap di pintu sempadan Rafah, Mesir yang dikawal tentera Israel.

Mengumumkan perkara itu di Instagram (IG), kira-kira dua jam lalu, Yatt memberitahu, suaminya, Zulfadhli Khairuddin, anggota Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta dua teman baiknya, Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani adalah antara sukarelawan yang menyertai misi berkenaan.

"Berita yang diterima setakat ini, mereka ditahan dan tidak dapat keluar dari Rafah hingga terpaksa bermalam di sana. Akibatnya, mereka terlepas penerbangan pulang ke Malaysia, malam tadi. Berapa lama mereka akan ditahan masih menjadi tanda tanya," katanya dalam entri berkenaan.

Yatt yang aktif dalam misi kemanusiaan di Gaza memberitahu, dia pernah ditahan berpuluh-puluh jam di pintu Rafah pada 2013.

"Memang sangat mencabar dan menduga kesabaran.

"Sehubungan itu, saya memohon kita sama-sama mendoakan keselamatan dan kelancaran urusan suami dan anggota delegasi yang lain. Semoga mereka segera dilepaskan keluar dari pintu Rafah," katanya.

3793 dibaca
Berita Harian X