Rabu, 17 Julai 2019 | 8:04pm
AISHAH menyifatkan ‘drama’ Vida memasukkan barang kemas dalam balang makanan ringan seperti memperlekeh dirinya. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Saya cuma minta hak, kenapa nak perlekeh?'

PETALING JAYA: Penyanyi Aishah menyifatkan, tindakan pengasas kosmetik Datuk Seri Vida memasukkan dua butir berlian bernilai RM40,020 ke dalam balang makanan ringan sebelum diserahkan seperti memperlekeh dirinya sebagai artis.

Aishah atau nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin, 54, berkata dia hanya meminta haknya dan Vida tidak sepatutnya mempertikai hadiah barang kemas itu kerana ia sudah dijanjikan apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Gegar Vaganza musim keempat.

“Bagi saya, tindakannya itu sebagai penghinaan dan memperlekehkan saya. Tidak perlu berbuat seperti itu, seolah-olah saya seperti tidak pernah jumpa berlian,” katanya.

Aishah berkata, dia juga terkilan apabila dikatakan tergesa-gesa mahu memilih barang kemas itu, sedangkan dia tidak mempunyai masa disebabkan jadual kerja yang padat.

“Kami pergi ke kedai emas selepas mediasi kerana petang itu kami memang ada kelapangan. Bukan kerana kami mahukan sangat barang itu.

“Lagipun bukannya saya dapat ambil terus. Saya difahamkan, baru hari ini dia menyelesaikan bayaran iaitu hari terakhir mengikut perjanjian,” katanya.

Terdahulu, dalam sidang media, hari ini, Vida menunjukkan berlian dan barangan kemas bernilai RM80,000 yang dipilih Aishah sebelum diserahkan melalui peguamnya di sebuah kedai emas di Bangsar.

Vida bagaimanapun, mencetuskan 'drama' apabila memasukkan dua berlian 1 karat bernilai RM27,100 dan berlian 0.70 karat berharga RM12,920 ke dalam balang makanan ringan.

Selain berlian, Vida turut menunjukkan beberapa barangan lain yang dipilih Aishah, selain berharap kemelut antara mereka selesai dengan baik.

“Saya harap kemelut antara saya dan Aishah selama setahun terlerai dan selesai dengan segera. Saya enggan serabutkan lagi fikiran dengan isu ini.

“Sebagai orang yang bertanggungjawab, saya penuhi tuntutannya, walaupun pemberian itu pada asalnya mahu menggembirakan Aishah sebagai juara GV4,” katanya.

Terdahulu, hasil mediasi pada 1 Julai lalu, Vida atau nama penuhnya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman perlu membayar harga pameran barang kemas berjumlah RM80,000 kepada Aishah pada atau sebelum 17 Julai 2019.

Vida pada 6 Julai lalu, membuat sidang media untuk memohon maaf kepada Aishah, susulan perbalahan yang tercetus apabila penyanyi itu membuat pendedahan hadiah rantai bernilai RM80,000 yang ditajanya adalah palsu selepas membuat pemeriksaan di kedai emas.

7002 dibaca
Berita Harian X