Rabu, 17 Julai 2019 | 4:43pm
MESKIPUN pahit, Betty akur perkahwinan yang dibina sejak tujuh tahun terlerai pada 10 Julai lalu. Foto IG Betty Banafe

Betty Banafe bercerai 10 Julai lalu

KUALA LUMPUR: Meskipun pahit untuk ditelan, pelakon Betty Banafe, akur menerima kenyataan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta sejak tujuh tahun lalu berakhir dengan perpisahan.

Betty, 40, berkata keputusan untuk membawa haluan sendiri sudah diputuskan sejak Mac lalu, namun hanya pada 10 Julai lalu, dia dan bekas suaminya, Bruce Dargus disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru.

“Tujuh tahun hidup bersama, sudah pasti saya berusaha untuk mempertahankan rumah tangga kami. Terlalu pahit menerima kenyataan itu, terutama apabila insan yang paling saya cintai memaklumkan dia sudah tiada perasaan lagi untuk meneruskan perkahwinan ini.

“Saya anggap antara kami sudah tiada jodoh dan persefahaman untuk terus hidup bersama. Soal lain, saya tidak mahu fikir.

“Keputusan ini dibuat secara matang dan demi kebaikan bersama selepas kami berasakan sudah tidak lagi boleh hidup sebumbung. Saya hargai kejujuran bekas suami yang mengakui, sudah tiada lagi perasaan terhadap saya, sekalipun pahit untuk ditelan.

“Masing-masing sudah mencuba untuk mempertahankan cinta kami, tetapi suratan takdir pula menentukan sebaliknya,” kata Betty.

Bagi Betty atau nama penuhnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, bekas suaminya tetap dianggapnya sebagai lelaki yang baik dan bertanggungjawab, selain jujur dalam hubungan.

“Apa juga yang berlaku antara kami, dia tetap bapa yang baik kepada dua anak kami. Itu fakta yang tidak boleh diubah dan saya tidak akan sesekali memisahkan mereka,” katanya.

Tambah Betty, dia kini masih menanti keputusan mahkamah mengenai hak penjagaan dua anak mereka.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2012 itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Julia Claire Dargus dan Bruce Dean Dargus.

Berita Harian X