Selasa, 16 Julai 2019 | 6:29pm

Anak saya tak cari publisiti murahan - Eizlan

HULU KLANG: “Sebagai ayah, saya sedih apabila masyarakat mempertikai anak saya dan tidak mahu dia dituduh sengaja mencari publisiti murahan.

“Saya bimbang tanggapan itu memberi kesan kepadanya pada masa akan datang,” kata penerbit dan pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof berhubung kenyataan polis mengenai kemalangan jalan raya membabitkan anaknya, Zareef Yusof pada 11 Julai lalu.

Sehubungan itu, Eizlan berharap, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjelaskan semula kejadian kemalangan itu bagi membersihkan nama anaknya, susulan kenyataan diberikan.

Eizlan berkata demikian pada sidang media khas di Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini, hari ini.

Kenyataan polis sebelum ini, memaklumkan kemalangan itu membabitkan kereta Toyota Vios dinaiki dua wanita kru penggambaran berusia 23 dan 43 tahun serta kereta Proton Wira dipandu seorang tukang rumah lelaki berusia 48 tahun

Eizlan berkata, ketika kejadian, Zareef ditemani ibu saudaranya yang juga pengurus peribadi, Nur Zuriati Mohd Rijaluddin, 23, yang memandu kenderaan.

“Ketika laporan dibuat, Nur Zuriati masih tidak stabil. Saya bukan mahu menghentam polis, malah sayangkan PDRM yang banyak berjasa kepada masyarakat.

“Saya rasa perkara ini perlu dijelaskan semula kerana kasihankan anak apabila masyarakat mempersoal, sedangkan dia terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, Zareef dilaporkan terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Simpang 4 Parit Gambut, Sungai Besar, Selangor itu.

Ketika kejadian, Zareef dalam perjalanan ke lokasi penggambaran drama Mak Cun musim kelima arahan Mohd Izuan Mohd Mokhtar.

4417 dibaca
EIZLAN bersama Zareef dan Nur Zuriati (kanan) pada sidang media menjelaskan isu kemalangan yang menimpa anaknya pada 11 Julai lalu. Foto Khairul Azhar Ahmad
Berita Harian X