Isnin, 15 Julai 2019 | 12:15pm
NASSIER bersyukur keadaan kesihatannya semakin baik selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada 1 Jun lalu. Foto Syarafiq Abd Samad

Nassier selamat jalani pembedahan buang ketumbuhan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Nassier Wahab, bersyukur keadaan kesihatannya semakin pulih selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu.

Pembantu peribadinya, Aliff Salim, berkata ketumbuhan itu mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.

“Sejak itu, dia kerap mengalami sakit gusi dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Namun, apabila kesakitan itu berulang, dia membuat pemeriksaan rapi dan doktor mendapati ada ketumbuhan kecil pada bahagian itu.

“Doktor menasihatkannya supaya segera menjalani pembedahan kerana bimbang sakit itu merebak. Tetapi, Nassier meminta prosedur itu ditangguhkan, selain mahu mencuba rawatan alternatif,” katanya.

Alif berkata, akhir tahun lalu, mereka berusaha mendapatkan pandangan daripada doktor di Singapura, namun turut dinasihatkan supaya segera menjalani pembedahan untuk memastikan tiada masalah lain.

“Apabila kembali semula ke ibu negara, kami bertemu doktor lain pula untuk mendapatkan pandangan. Nassier akhirnya bersetuju menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini pada 1 Jun lalu, iaitu empat hari sebelum sambutan hari raya,” katanya.

Alif berkata, keadaan kesihatan penyanyi yang terkenal dengan lagu Sekali Aku Jatuh Cinta itu semakin baik, malah sudah boleh makan seperti biasa.

“Sebelum ini, Nassier terpaksa makan menggunakan tiub dan Rabu lalu, baru dia dapat menikmati makanan seperti biasa. Hampir 20 hari juga dia di hospital sebelum dibenarkan keluar.

“Buat sementara waktu, Nassier masih berehat untuk memastikan keadaannya benar-benar pulih sebelum kembali meneruskan komitmen seni. Alhamdulillah, dia semakin pulih dan tetap bersemangat untuk meneruskan aktiviti seni yang sudah sebati dalam diri,” katanya.

Terdahulu, Nassier pada April tahun lalu pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar dan ketumbuhan pada leher.

2276 dibaca
Berita Harian X