Isnin, 15 Julai 2019 | 11:00am
Ezly mempertaruhkan lagu balada ciptaan sendiri, Kau Bukan Dia dalam misi mencipta nama sebagai penyanyi. Foto NSTP Aziah Azmee

'Ayah yang beriya-iya'

KUALA LUMPUR: Kesungguhan ayah memperdengarkan lagu ciptaan sendiri kepada Johari Teh, membuka pintu kepada Ezly Syazwan disunting sebagai penyanyi rakaman.

Bernaung di bawah Syarikat Map Music, Ezly atau nama penuhnya, Ezly Syazwan Shah Mohd Joeelleyno mahu diperkenalkan sebagai penyanyi yang boleh mencipta lagu.

“Saya dilamar Map Music melalui Instagram dan bertemu dengan Johari ditemani ayah. Johari menerangkan selok-belok industri seni.

“Ketika rancak berbual, tiba-tiba ayah memperdengarkan lagu-lagu ciptaan saya kepada Johari. Ayah yang beriya-iya... Apa yang dilakukan menjadikan saya terharu dengan sokongan ayah yang tidak berbelah bahagi.

“Segan pada mulanya... Tetapi rasa bangga apabila seorang komposer hebat terbuka dengan idea dan karya saya,” katanya kepada BH Online.

Tambah Ezly, ibu dan anggota keluarga yang lain percaya dengan kebolehannya sebagai penyanyi ketika dia hanya mampu bermain alat muzik.

“Sejak dahulu lagi, saya hanya terfikir hendak jadi komposer. Tetapi keluarga dan rakan-rakan melihat saya berbakat sebagai penyanyi. Mereka yakin saya mampu melakukannya.

“Alang-alang mendapat sokongan dan peluang, takkan hendak dibiarkan sahaja. Saya akan cuba tampilkan bakat yang ada,” katanya.

Sebagai permulaan, Ezly memperkenalkan lagu ciptaannya berjudul Kau Bukan Dia. Lagu bergenre balada itu mengisahkan rintihan seorang jejaka apabila cintanya dipersiakan.

“Setiap kali menghasilkan lagu, pendengar selalu bertanya, apakah lagu yang dicipta berdasarkan pengalaman sendiri. Sebenarnya, ia hanya bayangan,” katanya.

5731 dibaca
Berita Harian X