Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:00am
UQASHA masih belum bersedia menamatkan zaman solo meskipun sudah mencecah usia 26 tahun. Foto Mahzir Mat Isa

Ramai nak saya dan Kamal bercinta - Uqasha Senrose

KUALA LUMPUR: Keserasian gandingannya bersama Kamal Adli dalam drama Setelah Terlafaznya Akad membuatkan ramai peminat ingin melihat mereka bercinta.

Namun, bagi Uqasha Senrose, perkara berkaitan soal hati tidak boleh dipaksa, tambahan pula ketika ini, dia mahu memberikan fokus terlebih dulu kepada kerjaya.

“Mungkin kerana masing-masing masih solo, jadi ramai berharap hubungan baik kami berlanjutan hingga ke luar lokasi penggambaran.

“Soal hati dan perasaan di luar kawalan saya, malah perkara itu belum saya fikirkan secara serius kerana mahu terlebih dulu membina kerjaya,” katanya.

Uqasha yang membawa watak Nawal dalam drama itu bagaimanapun, mengakui selesa bergandingan dengan Kamal yang pada matanya tenang dan kelakar.

“Banyak yang saya belajar daripada Kamal, terutama mengenai lakonan. Berbanding saya, dia lebih berpengalaman dalam selok-belok lakonan. Keserasian itu tercipta mungkin kerana kami lama di lokasi penggambaran.

“Hampir lima bulan kami bersama menyiapkan drama itu. Jika ramai yang suka, itu bonus kerana ia bermakna, gandingan kami menjadi. Lagipun, keserasian bukan perkara yang boleh dibuat-buat dan penonton dapat menilainya menerusi persembahan kita di skrin televisyen,” katanya.

Sementara itu, Uqasha turut menafikan, perkahwinan adiknya, Nelydia Senrose pada April lalu, memberinya tekanan untuk segera mencari jodoh.

“Sudah jodoh dia berkahwin pada usia muda dan pilihan itu terbaik untuknya. Pada usia 26 tahun, saya rasa masih lagi awal untuk mendirikan rumah tangga. Untuk apa memaksa diri jika masih belum bersedia.

“Saya gembira dengan kehidupan Nelydia yang semakin teratur. Soal lambat atau cepat bertemu jodoh, saya serahkan kepada takdir. Saya tidak mahu mendesak diri hanya kerana memenuhi permintaan orang lain,” katanya.

4843 dibaca
Berita Harian X