Jumaat, 12 Julai 2019 | 1:00pm
MENGAKU rapat, namun Oktovia nafi menjalin hubungan istimewa dengan Redza. Foto Mahzir Mat Isa

'Kenapa kaitkan saya? Tanya sendiri Redza, Ayda'

KUALA LUMPUR: Pelakon sensasi Oktovia Manrose bingung apabila dikaitkan sebagai punca hubungan cinta Redza Rosli dan Ayda Jebat tidak kesampaian.

Oktovia berkata, orang ramai tidak sepatutnya terus membuat andaian tanpa terlebih dulu mendapatkan penjelasan sebenar kerana tidak semua yang sampai ke pendengaran mereka sahih.

“Tidak wujud dakwaan mengatakan saya sebagai orang ketiga, apatah lagi menjadi punca yang menyebabkan hubungan Redza dan Ayda renggang.

“Lebih baik perkara itu ditanyakan sendiri kepada tuan punya badan. Jangan terus buat kesimpulan hanya kerana saya dan Redza rapat disebabkan kami pernah berlakon bersama,” katanya.

Kakak kepada pelakon Aprena Manrose itu berkata, dia dan Redza mula rapat ketika sama-sama membintangi drama Hero terbitan NS Star Studio, milik Darling Ngasri yang disiarkan menerusi TV2.

“Kami akrab atas dasar kerja dan tiada sebarang hubungan istimewa. Saya juga tidak tahu dengan siapa saya akan bertemu jodoh. Perkara itu di luar bidang kuasa saya,” katanya.

Ibu tunggal anak satu itu sebelum ini, pernah mencetuskan kontroversi apabila dikatakan menjalin hubungan dengan bekas suami Bella Astillah, Aliff Aziz.

“Kontroversi yang melanda dulu membuatkan saya lebih berhati-hati. Saya tersalah langkah hingga pernah memberikan pelbagai kenyataan mengarut.

“Perkara itu sudah berakhir, tidak perlu dibangkitkan lagi. Saya hanya mahu pandang ke depan ketika rezeki dalam bidang lakonan semakin murah,” katanya.

Anak kepada pasangan penyanyi Iwan dan Allahyarham Rosnah Mohd Noor itu bersyukur, kontroversi yang melanda tidak memudarkan kepercayaan penerbit untuk terus memberinya peluang.

3982 dibaca
Berita Harian X