Jumaat, 12 Julai 2019 | 9:00am
AUBREY memberikan sentuhan untuk lagu Kasihku Selamanya nyanyian Siti Nurhaliza yang menjadi runut bunyi filem seram, Dendam Pontianak. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Aubrey takut pujuk Siti Nurhaliza nyanyi Kasihku Selamanya

KELANA JAYA: Komposer dan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito, mengakui ‘takut’ untuk memujuk Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Kasihku Selamanya yang menemui pendengar di semua pelantar digital, kelmarin.

Aubrey berkata, dia gusar memandangkan Siti ketika itu baru melahirkan anak dan enggan mengganggu fokusnya terhadap rumah tangga.

“Apabila pihak produksi filem Dendam Pontianak, Tiger Tiger menyatakan hasrat mahu melamar Siti menyanyikan lagu runut bunyi produksi seram itu, saya meminta mereka berbincang dengan pihak pengurusannya.

“Bukan tidak mahu membantu, tetapi ketika itu, Siti baru melahirkan anak dan tentu dia enggan diganggu dengan urusan kerja.

“Biarlah pihak produksi yang buka mulut dan apabila Siti bersetuju, saya turut teruja kerana lagu ini memang saya hasilkan berdasarkan kemampuan vokalnya,” katanya.

Aubrey berkata, apa yang dia harapkan menjadi kenyataan kerana penyanyi lagu Anta Permana itu melunaskan tanggungjawabnya dengan baik.

“Siti hanya mempunyai sehari untuk menyiapkan rakaman dan dia begitu profesional, sekali gus memudahkan proses rakaman kerana ia selesai dalam tempoh dua jam.


AUBREY memuji sikap profesional Siti ketika mereka bekerjasama menerusi lagu Kasihku Selamanya. - Foto ihsan Aubrey Suwito

“Ketika di studio, tiga baris pertama lirik lagu itu dirakamkan Siti sekali sahaja dan hasilnya cukup memuaskan hati. Walaupun kami cuba ulangi, rakaman pertama juga yang kami gunakan,” katanya pada sesi pradengar lagu itu, baru-baru ini.

Filem terbitan rumah produksi dari Singapura itu menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Nur Fazura, Remy Ishak dan Wan Hanafi Su.

Sejak dilancarkan, lagu itu menduduki tangga teratas carta iTunes Malaysia.

Berita Harian X