Rabu, 3 Julai 2019 | 9:00am
DYNAS enggan melayan komen negatif yang dilayangkan di laman sosial berhubung masalah bentan yang dihadapinya ketika berpantang. - Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

'Kalau layan boleh meroyan'

KUALA LUMPUR: Dynas Mokhtar bimbang berdepan risiko ‘meroyan’ jika terus melayan komen netizen berhubung masalah bentan yang dihadapi selepas melahirkan anak ketiga, Mei lalu.

Dynas percaya terkena bentan selepas mencampurkan serai dalam makanan.

“Ada sahaja kata-kata negatif dilayangkan seolah-olah mereka (netizen) lebih tahu mengenai situasi dialami. Jadi, saya memilih untuk menyekat akaun yang berpotensi meninggalkan komen berbaur negatif.

“Bukan apa, saya masih berpantang. Jika tersilap langkah boleh membuatkan diri meroyan kerana hormon pun kurang stabil.

“Lebih baik saya tidak membaca perkara negatif kerana reaksi seumpama itu berterusan jika dibiarkan,” katanya kepada BH Online.

Dynas mengaku terkejut membaca komen yang dilayangkan golongan remaja termasuk pelajar sekolah berhubung masalah bentan yang dihadapinya pada hari ke-35 berpantang.

Namun, bintang filem Tombiruo : Penunggu Rimba mengaku ada perkongsian positif diterima mengenai keadaannya.

Mengulas mengenai kehadiran permata hati, Edriel Obil, Dynas mengaku agak kekok selepas kali terakhir melahirkan anak kedua, kira-kira tujuh tahun lalu.

“Apabila suami bertanya mengenai perkembangan dan cara menjaga bayi, banyak yang tidak boleh dijawab.

“Ini kerana saya sudah terlupa. Suami memberi buku bagi mengingatkan kembali fakta mengenai bayi.

“Alhamdulillah, suami banyak membantu menjaga Obil yang masih kecil. Apatah lagi, dia adalah cucu pertama dalam keluarga mentua. Kehadirannya menyerikan keluarga kecil kami,” katanya.

Dynas berkahwin dengan pengusaha ladang ayam, Shazrik Din, tahun lalu, selepas empat tahun bergelar ibu tunggal.

Melalui perkahwinan pertama, Dynas memperoleh dua anak iaitu Khayra Khalyssa, 9, dan Mohamed Haqaish, 7.

Berita Harian X