Selasa, 2 Julai 2019 | 9:00am
BIARPUN imejnya sering dipertikai, Kilafairy tidak mudah melatah dengan pandangan umum. Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KILAFAIRY bersama dua orang kuat produk keluarannya, Kilafit iaitu Hamiz Shah dan Asyraf Khalid.

Kilafairy sanggup berkurung gara-gara masalah berat badan

KUALA LUMPUR: Pelakon yang terkenal dengan imej seksi, Kilafairy mengakui, dia begitu menitikberatkan penampilannya, malah sangat mementingkan penjagaan bentuk badan.

Katanya, tuntutan umum yang sentiasa mahu melihat selebriti tampil sempurna membuatkan dia sanggup melalui pelbagai ‘penderitaan’ semata-mata untuk kelihatan menarik.

“Saya pernah mengalami masalah berat badan hingga membuatkan saya hilang keyakinan diri. Saya tidak sanggup memuat naik gambar di laman sosial, apatah lagi keluar rumah.

“Saya sanggup berkurung dan tolak tawaran menjalani penggambaran kerana tidak selesa beraksi di depan kamera apabila badan berisi,” katanya.

Akur sudah terbiasa dengan perhatian warganet yang gemar mempertikai penampilannya, Kilafairy, 27, bagaimanapun, tidak menganggap semua itu sebagai tekanan.

Dia juga tidak melatah setiap kali menerima komen pedas mereka yang membenci penampilan beraninya kerana baginya, penilaian setiap individu tidak sama.


KILAFAIRY bersama ibu tersayang Rohana Jalil.

Anak penyanyi Rohana Jalil itu, baru-baru ini sekali lagi dikecam apabila menyarung persalinan ketat bermotif ular ketika menghadiri majlis pelancaran produk kecantikan di Bangkok, Thailand.

“Bagi saya, seksi itu subjektif. Jika ada komen panas yang menyakitkan hati, saya abaikan sahaja kerana tidak mahu ia memberi kesan kepada diri.

“Saya tidak mudah melatah, malah tidak akan menutup ruangan komen di Instagram hanya kerana takut dengan pandangan orang. Apa juga yang saya buat, pasti ada yang tidak kena pada mata segelintir pengikut,” katanya.

Pemilik nama lengkap Syakila Nisa Jahangir Khan itu berkata, pengalaman ibunya yang terlebih dahulu makan garam dalam dunia seni turut membantunya lebih kebal menangani pandangan orang.

“Ibu sangat kuat dan kental, malah saya mewarisi sifat serta keberanian itu daripadanya. Selalu dia ingatkan saya supaya bersedia dari segi mental dan emosi.

“Prinsip itu juga membuatkan saya tidak mudah melatah setiap kali menerima kritikan. Biarpun ada yang memandang negatif, hidup perlu diteruskan,” katanya.

Selain dikenali sebagai pelakon, Kilafairy yang juga berbakat dalam bidang nyanyian mengakui, teruja kerana dua perancangan terbarunya menjadi kenyataan.

“Saya baru melancarkan produk kesihatan dan pelangsingan badan, Kilafit. Selain mengajak orang jadi sihat dan cantik, saya juga mahu mereka menjana pendapatan sampingan dengan perniagaan ini.

“Satu lagi, saya bakal muncul dengan single Melayu, cuma butiran mengenai penghasilan lagu itu masih belum boleh dikongsi,” katanya yang sebelum ini muncul dengan single Inggeris, Put The Word In bergandingan dengan DJ Aku Ash dan artis antarabangsa, Sean Kingston.

Berita Harian X