Isnin, 1 Julai 2019 | 9:00am
SARAH enggan mempersia-siakan kepercayaan diberi ibu bapa untuk mencuba nasib dalam dunia seni. Foto NSTP Aswadi Alias

'Ayah nasihat usah bercinta'

KUALA LUMPUR: Baru setahun menceburi bidang seni, gosip sudah mula menyapa artis remaja, Sarah Suhairi, apabila dia dikatakan bercinta dengan penyanyi muda, Ariff Bahran.

Bagaimanapun, khabar angin itu dinafikan Sarah sambil menyifatkan hubungannya dengan si pendendang lagu, Kata Akhirmu, sekadar teman biasa.

Menurut penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Pedih ini, pada usia sekarang, ia bukanlah masa yang sesuai untuknya menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki.

Selain mahu fokus terhadap kerjaya nyanyian yang semakin berkembang, Sarah tidak mahu ingkar nasihat bapanya yang tidak ingin melihat dirinya bercinta pada usia muda.

“Ayah bukan melarang, tetapi menurutnya, kalau boleh janganlah sekarang. Apabila timbul cerita kononnya Sarah bercinta, memang Sarah terkilan kerana walaupun kami rapat, hubungan itu tidak lebih daripada rakan sekerja. Mujurlah ayah memahami situasi itu.

“Lagipun, untuk bercinta, kita memerlukan komitmen dan Sarah sendiri belum bersedia berdepan keadaan itu. Sarah sanggup menolak tawaran untuk sambung belajar di pusat pengajian tinggi semata-mata ingin mengejar impian menjadi seorang penyanyi.

“Jadi, Sarah tidak mahu mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan itu,” katanya kepada BH Online.

Belajar daripada kesilapan lalu dan enggan lagi gosip percintaan terus menghambat diri, penyanyi berusia 19 tahun ini berkata, dia mengelak daripada kerap memuat naik gambar bersama lelaki di laman sosial.

“Mungkin sebelum ini Sarah terlalu kerap memuat naik gambar bersama lelaki berserta keterangan yang boleh mengundang persepsi nakal pengikut, sehingga mereka menyangkakan kami bercinta. Selepas ini, Sarah kena fikir dahulu sebelum membuat sebarang hantaran di laman sosial.

“Bukan langsung tidak mahu berkongsi apa-apa, cuma kena kurangkan sahaja,” ujarnya yang hadir ke Balai Berita, baru-baru ini, untuk mempromosikan single terbarunya yang berjudul Rise and Fall.

Sebelum ini, terdengar juga desas-desus kononnya juara program realiti Big Stage ini dikongkong keluarga. Spekulasi itu timbul apabila setiap keputusan yang dibuat Sarah perlu mendapat persetujuan ayahnya. Selain itu, lelaki itu sering berada di sisi anaknya dalam apa juga acara.

Mengulas perkara itu, penyanyi berasal dari Rawang, Selangor ini menegaskan, tiada istilah dikongkong kerana sebagai anak perempuan yang masih di bawah umur, tanggungjawab tetap berada di bahu kedua-dua orang tuanya.

“Orang yang paling risau apabila Sarah memutuskan untuk menjadi artis adalah ibu. Maklum sahaja, ibu mana tidak risau untuk melepaskan anaknya menceburi bidang yang banyak cabaran ini. Malah, dia pernah memberitahu, kalau terjadi apa-apa kepada Sarah, dia akan salahkan ayah.

“Sebagai bapa, dia tidak pernah mengongkong Sarah. Sejak Sarah bersekolah lagi, dia memberi sepenuh kebebasan untuk Sarah buat apa sahaja asalkan tahu menjaga batas diri. Dia yang menggalakkan Sarah menunggang motosikal ke sekolah dan mengambil lesen kereta untuk memudahkan ke sana ke mari.

“Dia hanya akan temankan Sarah kalau kebetulan dia mempunyai kelapangan. Jika dia sibuk, Sarah akan ditemani pembantu peribadi.

“Sarah sendiri tak kisah pun jika dia ambil berat kerana hakikatnya, Sarah masih berada di bawah tanggungjawabnya dan belum capai usia 21 tahun pun,” katanya lagi.

Beralih kepada pembikinan single ciptaan Faizal Tahir itu, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi laman YouTube ini memberitahu, lagu berkenaan sedikit sebanyak menceritakan kisah perjalanan hidupnya.

“Lagu Rise and Fall ini berkisar pada kehidupan Sarah sendiri iaitu perjalanan hidup sebelum menjadi penyanyi. Sarah tak sangka suatu hari nanti akan menjadi penyanyi. Sebelum ini, Sarah pernah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di sebuah pusat pengajian tinggi.

“Pada masa sama, Sarah turut mendapat peluang untuk menyertai program realiti. Ketika itu, Sarah dilema kerana takut menjadi seperti pepatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. Bimbang jika tewas di pertengahan jalan, sedangkan Sarah sudah menolak tawaran berkenaan. Alhamdulillah, rezeki nampaknya berpihak kepada Sarah.

“Selepas melihat jalan cerita dalam lirik lagu berkenaan, timbul hasrat untuk menghasilkan video muzik yang mempunyai jalan cerita sama dengan kehidupan Sarah,” kata gadis peramah ini.

2539 dibaca
Berita Harian X