Sabtu, 29 Jun 2019 | 9:00am
BEKAS penyampai Hot FM, El, ingin mencuba bidang baharu untuk mengembangkan lagi potensi diri. - NSTP/Aziah Azmee

El mahu teroka bidang baharu

KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun bersama Hot FM, El Saifuddin menamatkan tugas sebagai penyampai di stesen radio popular berkenaan mulai semalam.

El atau nama sebenarnya Muhammad Saifuddin Sharifuddin menjelaskan, dia mengucapkan selamat tinggal kepada radio terbabit bukan disebabkan tawaran daripada stesen penyiaran lain.

“Saya boleh dikatakan sudah sebati dengan Hot FM dan mereka ibarat sebahagian daripada keluarga saya.

“Banyak kenangan pahit dan manis kami lalui bersama, sejak saya memulakan kerjaya bersama Hot FM Terengganu, beberapa tahun lalu.

"Pengalaman bekerja sebagai penyampai radio juga banyak mendidik dan mengajar saya mengenai selok-belok dunia penyiaran. Insya-Allah... Rezeki Allah terbuka luas buat hamba-Nya,” katanya kepada BH Online.

El, 30, berkata, dia mengambil keputusan meninggalkan konti radio kerana ingin meneroka bidang lain yang dirasakan dapat membantunya mengembangkan lagi potensi diri.

Bersama radio terbabit, El mengendalikan segmen Muzik Hot, bermula jam 10 pagi hingga 4 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.

Selain itu, dia yang menggemari muzik Bollywood juga pernah bergandingan dengan Haziq Hussni menjayakan segmen Mega Hot.

Berita Harian X