Jumaat, 28 Jun 2019 | 4:09pm
PENYANYI dan pereka fesyen, Ezuwan Ismail, menjadikan teguran komposer, S Atan, sebagai proses pembelajaran memperbaiki kelemahan diri. - Foto ihsan E1

Ezuwan cuak dimarahi S Atan

KUALA LUMPUR: Syawal tahun ini nyata meriah dengan kehadiran lagu raya baharu daripada kalangan penyanyi muda popular.

Antara artis generasi baharu yang tidak ketinggalan memeriahkan suasana sambutan lebaran dengan lagu raya terkini masing-masing ialah Hael Husaini, Ernie Zakri, Syamel, Wany Hasrita, Floor 88, Baby Shima dan kumpulan trio E1.

Trio yang dianggotai oleh Ezuwan Ismail, Zulyasrani dan Ariff Imran pula berasakan mereka cukup bertuah apabila berpeluang merakamkan lagu ciptaan komposer ternama, S Atan, berjudul Rindu Lebaran. Lirik lagu terbabit ditulis oleh Siso.

“Kami amat seronok apabila melihat ramai kalangan artis muda sama-sama mengambil langkah berani dengan merakamkan lagu raya baharu. Ia sedikit sebanyak memberikan variasi dan melengkapi lagu raya lama yang sudah menjadi dendangan malar segar.

“Saya sendiri sebenarnya sudah lama mengimpikan untuk menyanyikan lagu ciptaan S Atan. Beliau banyak menghasilkan lagu raya yang diminati ramai selama berdekad-dekad, seperti dendangan Allahyarham Datuk Sudirman, kumpulan Black Dog Bone dan Datuk Jamal Abdillah.

“Justeru, kami memang tidak sangka apabila akhirnya impian merakamkan karya sentuhan emas beliau menjadi kenyataan. Besar harapan kami agar lagu Rindu Lebaran juga mampu menjadi antara karya yang boleh dinikmati pendengar bagi tempoh yang panjang,” kata Ezuwan yang turut dikenali sebagai pereka fesyen.

Sebelum ini, E1 muncul dengan single pertama, Semalam Sahaja, ciptaan Asfan Shah.


TRIO E1 berbangga dapat merakamkan lagu raya ciptaan S Atan.

Bercerita mengenai pengalaman merakamkan lagu terbabit, Ezuwan memberitahu, ia dilakukan di sebuah studio di Cheras, di sini, pada 5 Mac lalu.

“Kami mengambil masa selama kira-kira dua jam untuk merakamkan lagu berkenaan. Saya sendiri berdepan situasi ‘genting’ pada hari rakaman diadakan apabila dimarahi abang S Atan. Beliau sememangnya amat tegas ketika bekerja.

“Namun, saya tidak ambil hati, malah menganggap semua itu sebagai proses untuk saya belajar dan memperbaiki kelemahan diri. Apa pun, cuak juga sebenarnya apabila ditegur sedemikian. Begitupun, sejak pertemuan awal lagi, beliau memang cakap akan bersikap tegas demi kebaikan kami. Jadi, memang saya sudah diberikan amaran lebih awal.

“Saya akui, mutu vokal saya bukan sehebat dua lagi anggota kumpulan ini. Jadi, memang banyak jugalah teguran yang saya terima sepanjang proses rakaman dilakukan,” katanya yang menyambut lebaran di Kelantan bersama isteri dan dua anak mereka.

Berita Harian X