Rabu, 26 Jun 2019 | 2:00pm
UJANG tidak menyangka status berbentuk gurauan yang dimuat naik menerusi Facebook mencetus spekulasi rumah tangganya sedang bergolak. Foto Nik Hariff Hassan

Carikan anak ibu baharu cuma gurauan - Ujang Exists

KUALA LUMPUR: Pemain dram Exists, Ujang, menafikan rumah tangganya bermasalah gara-gara status ‘mahu cari ibu baharu’ yang dimuat naik di Facebook, beberapa bulan lalu.

Katanya, perkara itu sekadar gurauan dengan anak, namun tidak menyangka ia dianggap sebagai sesuatu yang serius oleh pihak luar.

Pemilik nama sebenar Saharudin Saniman, 45, itu berkata, dia sendiri takut apabila membaca semula status terbabit, namun tidak memadamkannya disebabkan tiada niat apa-apa.

“Semua itu hanya gurauan semata-mata dan tiada sekelumit keinginan untuk menyakitkan hati sesiapa, apatah lagi isteri sendiri.

“Hubungan kami masih baik, tidak seperti yang dibayangkan orang luar,” katanya pada majlis pelancaran kayu Stik Dram Signatur Promark Ujang Exists, baru-baru ini.

Bapa kepada empat cahaya mata itu mengakui isterinya, Roslina Mohd Ramli, 41, pada awalnya terasa hati, namun kembali ‘sejuk’ selepas dijelaskan.

Sementara itu, Ujang yang bermain dram sejak 28 tahun lalu meluahkan perasaan teruja apabila dipilih untuk berkolaborasi dengan jenama pembuatan kayu pemukul dram popular dunia, Promark.

Katanya, dia tidak menyangka selepas hampir setahun menghantar butiran diri kepada pihak berkaitan, baru kini permintaannya itu dipenuhi.

“Saya difahamkan ramai pemain dram profesional menunggu giliran daripada Promark untuk membuat stik (kayu pemukul) sendiri.

“Apabila nama saya menjadi yang pertama terpilih di negara ini, ia memberikan kepuasan yang tersendiri.

“Menerusi kolaborasi kami, 144 pasang stik dram yang memaparkan tanda tangan saya akan dijual pada harga RM79.90 seunit,” katanya.

Berita Harian X