Rabu, 26 Jun 2019 | 1:00pm
Shima hairan dengan sikap segelintir warganet mudah membuat kritikan tanpa usul periksa. Foto IG Shima Anuar

'Tak pernah tahu ada baju mengandung ke?'

KUALA LUMPUR: Dipersenda bergaya keterlaluan hingga bayi dikandung dikatakan ‘lemas’, pelakon Shima Anuar pelik netizen gemar melemparkan kritikan tanpa usul periksa.

Bintang filem Highland Tower yang sarat anak kedua itu mengaku terkilan dengan segelintir warganet yang cenderung bersikap skeptikal dan tidak rasional.

“Kenapa bodoh? Kenapa baju ketat? Biarkan bayi dikandung tercekik? Itu antara yang disoal. Saya hendak tanya dahulu, anda pernah dengar pakaian khas untuk wanita hamil atau baju mengandung?

“Kita hampir menjengah tahun 2020 tapi sikap sesetengah daripada kita masih di takuk lama. Tak sangka, masih ada yang tidak tahu mengenai baju atau fabrik yang direka khas untuk ibu mengandung,” katanya kepada BH Online.

Shima berkata, dia bukanlah hendak mengaibkan sesiapa apabila mengulas mengenai reaksi peminat berhubung penampilannya ketika berbadan dua.

“Saya cuma terkejut dengan komen dan kritikan yang dilemparkan sewenang-wenangnya.

“Sekarang, netizen terlalu bebas melontarkan kata-kata tanpa batas... Lebih bahaya, kritikan dibuat tanpa usul periksa,” katanya.

Shima yang hamil lapan bulan, teruja menanti kelahiran anak keduanya itu. Malah, dia pernah bertanya netizen untuk meramalkan jantina bayi dikandung berdasarkan fizikalnya.

Isteri kepada Mohd Solih Toha itu memberitahu, dia dan suami tidak pernah merancang zuriat, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada ketentuan rezeki.

Berita Harian X