Selasa, 25 Jun 2019 | 1:00pm
Lana bahagia di samping suami, Daud dan anak mereka iaitu Gia dan William. Foto dirakam di majlis rumah terbuka di kediaman pasangan ini, semalam. Foto NSTP Zunnur Al Shafiq

'Kami tak pernah rancang tinggal terus di AS'

KUALA LUMPUR: Suami mendapat tawaran menjadi jurulatih bola tampar di Brunei, Lana Nodin tidak menolak kemungkinan menetap di negara berkenaan sehingga bersara.

Lana berkata, dia dan suami, Mohd Daud Mckienzie atau nama asalnya, David McKienzie, tidak pernah merancang untuk menetap di Amerika Syarikat (AS) sampai bila-bila.

“Selama ini, saya dan keluarga pulang ke AS untuk tempoh seketika kerana suami ada komitmen sukan bola tampar di sana.

“Apatah lagi, keluarga mentua saya tinggal di AS. Cuma, untuk terus menetap di AS, tidak pernah ada dalam perancangan kami. Kalau boleh sekejap itu, bolehlah.

“Suami baru mendapat tawaran sebagai jurulatih di Brunei, jadi kami berfikir untuk menetap di sana. Semua ini dalam perancangan, suami mungkin memilih untuk bersara di Brunei,” katanya.

Lana berkata, dia dan suami sedang menilai prospek bersara di Brunei termasuk kemungkinan membeli tanah serta membina rumah di negara itu.

Ditanya mengapa memilih Brunei, Lana dan Daud masing-masing suka dengan suasana tenang di negara itu.

“Usaha suami meninjau hartanah di Brunei sudah lama... Cuma saya belum bersetuju untuk membeli aset buat masa ini.

“Mungkin untuk tempoh percubaan, kami akan menyewa rumah di Brunei selama setahun sebelum membuat keputusan,” katanya yang mengimpikan membina kampung sendiri di tanah yang dibeli kelak.

Lana berkata, dia dan suami juga terfikir untuk melebarkan sayap perniagaan di Brunei.

Tambahnya, bulan depan, mereka akan berangkat ke Maldives kerana suaminya terikat dengan komitmen bermain bola tampar di negara itu.

“Selepas Maldives, suami ada perlawanan di Itali. Keluarga Daud ada rumah persinggahan di Tuscany,” katanya yang menganjurkan rumah terbuka di Taman Melawati, dekat sini, semalam.

Lana berkahwin dengan Daud pada 15 Mei 2015. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Gia Quinn McKienzie yang berusia tiga tahun dan William atau Billy, tujuh bulan.

Berita Harian X