Selasa, 25 Jun 2019 | 12:57pm
RIZ menyifatkan penularan gambar bogel lelaki miripnya di laman maya sebagai cubaan menjatuhkan reputasi. Foto Aziah Azmee

Demi Allah! Itu bukan gambar saya - PU Riz

KUALA LUMPUR: “Saya masih waras lagi dan tidak akan melakukan perkara yang mengundang aib kepada diri.

“Saya tidak takut mempertahankan diri kerana saya berada di pihak benar. Saya sanggup bersumpah atas nama Allah, itu bukan gambar saya,” kata pelakon yang juga pendakwah, Riz Ismail.

Riz, 24, yang mula dikenali menerusi program realiti, Pencetus Ummah musim keempat juga menyifatkan, kontroversi gambar tidak senonoh lelaki miripnya yang sedang tular di laman maya sebagai cubaan untuk menjatuhkan reputasinya.

Sehubungan itu, Riz berkata, dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis, seterusnya membawa perkara itu ke muka pengadilan.

“Saya memandang serius perkara itu kerana ia sangat memalukan. Saya masih boleh berfikir mana yang baik dan buruk. Ini soal maruah, mengapa ada yang tergamak memperkotak-katikkan perkara itu?

“Kenapa perlu sunting gambar itu hingga ia mengundang fitnah? Saya berharap isu ini akan selesai dengan segera.

“Selepas berbincang dengan keluarga dan mereka yang rapat, saya akan membuat laporan polis dengan segera supaya isu ini tidak berlarutan,” katanya.

Susulan penyebaran gambar tidak senonoh itu, Riz mendakwa, turut menerima ugutan daripada individu yang meminta dia membayar sejumlah wang supaya ia tidak terus tular.

“Saya tidak teragak-agak untuk membawa perkara ini ke mahkamah kerana ia membabitkan soal maruah dan reputasi diri,” katanya.

Berita Harian X