Isnin, 24 Jun 2019 | 5:27pm
AYU ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari untuk pengesahan lafaz cerai yang dibuat Radhi pada 25 Mac lalu. Foto Zunnur Al Shafiq

Harap dia jujur kepada mahkamah - Isteri Radhi OAG

KUALA LUMPUR: “Memang Radhi ada meluahkan hasrat mahu rujuk semula, namun saya memilih untuk meletakkan noktah pada perkahwinan kami.

“Menerusi perbincangan sebelum ini, kami sudah mencapai kata sepakat untuk menyerahkan keputusan kepada mahkamah.

“Saya berharap dia jujur kepada mahkamah kerana proses ini sangat rumit. Penat hendak turun naik mahkamah kerana saya juga bekerja,” luah Nur Shahira Ayu Zahiri, 25, yang juga isteri kepada vokalis kumpulan OAG, Radhi.

Terdahulu, Radhi diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Petaling Jaya untuk membuat sumpah nafi berkaitan lafaz cerai yang dibuat terhadap isterinya itu pada 25 Mac lalu.

Hakim Syarie Husaini Roslin memerintahkan demikian selepas Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 41, selaku defendan dalam keterangannya kepada mahkamah memberitahu tidak mengingati lafaz yang dibuat kepada Ayu pada hari kejadian.

“Kami datang ke sini untuk selesaikan pengesahan lafaz cerai yang dibuat, tetapi Radhi memberikan kenyataan dia tidak ingat, jadi kami kena tunggu 16 Julai nanti,” katanya.

Ayu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 3 Jun lalu.

Pasangan itu masing-masing tidak diwakili peguam dan hadir secara berasingan.

Radhi dan Ayu mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Sebelum itu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

4035 dibaca
Berita Harian X