Isnin, 24 Jun 2019 | 9:00am
MAWAR dan Raf tak kisah dicemuh warganet apabila sering mempamerkan kebahagiaan mereka di laman sosial. Foto IG Mawar Rashid

Kami tak pura-pura bahagia - Mawar Rashid

KUALA LUMPUR: Kemesraan yang mereka pamerkan di laman sosial bukan dibuat-buat, sebaliknya pasangan selebriti, Mawar Rashid dan suami, Raf Yaakob, sememangnya diulit bahagia.

Meskipun ada sahaja mulut nakal yang mempertikai niat pasangan ini, mereka tidak kisah apabila kemesraan yang dipamerkan secara terbuka itu dicemuh kerana dia dan Raf enggan hidup berpura-pura.

“Saya tidak kisah dicemuh dan dikutuk warganet kerana saya dan suami diajar hidup berkasih sayang oleh keluarga masing-masing, sejak kecil lagi. Acuan kehidupan kami sama.

“Atas faktor itu juga, saya dan Raf serta keluarga masing-masing mudah serasi. Kami hanya kenal enam bulan sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017.

“Kalau warganet mahu mengata saya dan Raf suka menunjuk-nunjuk, itu terserah. Ia sama sekali tidak menyekat saya untuk terus memuat naik gambar atau video di laman sosial.

“Bagi saya, laman Instagram (IG) adalah diari kehidupan. Saya bebas memuat naik gambar atau video yang boleh dijadikan kenangan dan tatapan anak cucu pada masa depan,” katanya.

Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid akur, tidak semua manusia mempunyai fikiran yang positif.

Namun, katanya dia dan suami sentiasa menunjukkan kasih sayang sebagai menghargai insan di sekeliling yang ada bersama mereka ketika susah serta senang.

“Tidak salah menghargai suami dan keluarga, tetapi jangan silap menilai hingga sanggup menuduh kami sekeluarga hidup berpura-pura.

“Sebelum berkahwin lagi, saya sudah dididik supaya mementingkan nilai kasih sayang. Apabila bertemu Raf dan keluarganya, saya rasa lebih bertuah kerana kami dididik dengan cara sama,” katanya yang kini sudah bersedia untuk kembali berlakon, selepas hampir setahun bercuti melahirkan cahaya mata, Raden Muhammad Rafael.

Mawar bagaimanapun, tidak menafikan, adat berumah tangga, pasti ada turun naik dan mereka juga tidak terlepas daripada episod bermasam muka.

Namun, katanya perbalahan mereka tidak dibiarkan berpanjangan kerana dia dan Raf enggan mensia-siakan masa dengan bergaduh.

“Raf selalu berpesan, dia tidak mahu kami tidur dalam keadaan marah. Jika buat salah, selesaikan segera. Jangan sekali-kali simpan dalam hati.

“Saya percaya, masalah komunikasi boleh memburukkan keadaan. Saya dan Raf suka berbincang jika berdepan sesuatu masalah. Mungkin kerana itu, kami jarang bergaduh atau bertengkar," katanya berkongsi petua kerukunan rumah tangga.

Mula menempa nama menerusi drama, Suamiku Paling Sweet dan Kalis Kasih, Mawar berkata, dia rindukan lokasi penggambaran selepas setahun bercuti. Kali terakhir dia membintangi drama, Raisya 2.

“Rafael sudah berusia tiga bulan, jadi saya boleh meninggalkannya bersama ibu. Raf juga memberikan keizinan untuk saya bekerja semula.

“Melihat anak sudah agak besar, tiba masanya saya bekerja semula. Saya tidak mahu mensia-siakan peluang ketika nama masih diingati. Jika terlalu lama bercuti, sukar untuk saya bangkit semula.

“Raf tidak pernah menghalang, malah dia mengenali saya sebagai pelakon. Dia tahu minat dan jiwa saya ke arah dunia seni,” katanya.

3359 dibaca
Berita Harian X