Jumaat, 21 Jun 2019 | 3:00pm
ABBY Abadi bersama suami dan anak mereka ketika menghadiri majlis akikah serta cukur jambul anak pelakon, Lana Nordin, di Taman Melawati, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Abby Abadi beri bayangan berbadan dua

KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, Abby Abadi memberi bayangan kini hamil cahaya mata pertama hasil perkahwinannya dengan Faizal Zakaria.

Pelakon itu berkata, suami membawanya ke klinik untuk menjalani ujian imbasan, namun belum bersedia berkongsi sebarang berita kerana berasakan masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

“Suami membawa saya pergi ‘scan’, tadi. Alhamdulillah, syukur. Nanti sahaja saya cerita. Segan nak cerita sekarang... Awal lagi.

“Untuk doktor, jangan serik jumpa saya setiap bulan mulai bulan ini ya,” katanya menerusi hantaran di Instagram, baru-baru ini.

Terdahulu, bintang Gerak Khas itu pernah mengalami keguguran ketika kandungannya memasuki bulan ke lima pada 2017.

Sebelum ini, menerusi perkahwinan dengan aktor, Norman Hakim, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 42, dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisha Hakim, 11.

Abby dan Norman berpisah pada 2008.

Bersama Faizal pula, pasangan itu mengambil dua anak angkat iaitu Muhammad Daiyan Fayyadh dan Maisara Dayana Fathia. Kedua-duanya berusia setahun.

Sementara itu, menguatkan lagi khabar gembira terbabit apabila suaminya turut meluahkan rasa syukur di atas kurniaan Ilahi.

“Hari ini, baru ada masa untuk membawa cinta hati saya ke klinik. Alhamdulillah... Perancangan Allah adalah yang terbaik.

“Syukur di atas segala-galanya. Terima kasih Allah. Moga hamba-Mu ini tidak lalai untuk terus bersujud pada-Mu,” katanya.

3640 dibaca
Berita Harian X