Isnin, 17 Jun 2019 | 1:52pm
SITI ditemani ibunya, Siti Salmah (kiri) hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Bahanordin yang menghembuskan nafas terakhir, malam tadi. Foto Hasriyasyah Sabudin

'Sanggup hantar sampai Kuala Lipis kerana ingat pesan ayah'

HULU KLANG: Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan, bekas Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Suria Records (SRC), Allahyarham Bahanordin Deraman yang meninggal dunia, malam tadi seperti abangnya sendiri.

Penyanyi Anta Permana itu berkata, arwah yang mesra disapa Bard antara individu kepercayaan keluarga yang sentiasa menemaninya ke mana-mana lokasi persembahan ketika memulakan kerjaya nyanyian bersama label itu sekitar 1996.

“Besar jasa Allahyarham Abang Bard terhadap saya dan keluarga. Arwah selalu ingat pesan ayah supaya menghantar saya sampai depan pintu rumah tidak kira jam berapa persembahan selesai.

“Kami pernah sampai di rumah keluarga saya di Kuala Lipis, Pahang jam 6 pagi kerana selepas itu, saya perlu ke sekolah. Selain pengurus, Rozi Razak, arwah sememangnya insan yang ada ketika saya mula bertapak.

“Sikapnya yang sarat humor dan selalu positif membuatkan kita tenang. Boleh dikatakan arwah menjadi penawar kami," katanya selepas memberikan penghormatan terakhir di Masjid As-Sobirin AU5, Lembah Keramat, hari ini.


SITI menyifatkan Bard yang menghembuskan nafas terakhir, malam tadi sudah seperti abang sendiri. Foto FB

Penyanyi itu bersama ibunya, Siti Salmah Bachik dan Rozi memperuntukkan hampir dua jam menemui keluarga arwah.

Bahanordin, 53, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.30 malam tadi akibat komplikasi kencing manis dan meninggalkan dua cahaya mata, Nur’ Ain Batrisya, 15, serta Rizki Langit Ramadan, 12.

Selain Siti, arwah turut menguruskan kerjaya ramai penyanyi popular termasuk Noraniza Idris, Liza Hanim, New Boyz, Tomok dan 2 By 2.

Allahyarham juga pernah mengendalikan beberapa artis lain, termasuk penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa ketika berkunjung ke negara ini.

Jenazah disembahyangkan di masjid sama sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan AU4, Taman Permata, di sini selepas Zuhur.

Berita Harian X