Ahad, 16 Jun 2019 | 11:00am
PELAKON, Raja Ilya. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Raja Ilya dikecam bersolek sambil memandu

KUALA LUMPUR: Aktif menjayakan aktiviti promosi di laman sosial, Raja Ilya dilihat mempunyai cara tersendiri bagi menarik perhatian warganet untuk mencuba produk diperkenalkannya.

Terbaru, pelakon Love You Mr Arrogant berusia 33 tahun itu berkongsi percubaannya membuat demonstrasi solekan secara ringkas, sambil memandu kereta.

Namun, perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet, dengan sebahagiannya menganggap tindakan aktres terbabit bukan teladan yang baik, malah boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

“Saya hanyalah satu daripada beribu-ribu orang yang bersolek ketika memandu. Apa yang penting kita mengenal pasti kawasan dilalui ketika menggunakan pendekatan terbabit. Bukan saya sahaja, ramai lagi wanita di luar sana yang kekurangan masa dan bersiap di dalam kereta ketika ke tempat kerja.


PERKONGSIAN Raja Ilya mengenai solekan sambil memandu mendapat kecaman sebahagian warganet. - Foto Instagram Raja Ilya

“Apatah lagi jika tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas yang memakan masa agak lama. Apa yang penting, kita peka dengan kawasan sekeliling dan tahu apa yang kita lakukan. Bukan semua orang boleh melakukan banyak perkara pada satu masa, jadi sesiapa yang ‘multi tasking’ tahu apa mereka lakukan.

“Lebih baik tunjuk perkara sebenar daripada berpura-pura mengikut peraturan. Jadi, pendek kata, berwaspada mengikut keadaan sekeliling kerana kemalangan boleh berlaku biarpun memandu di jalan lurus dengan kelajuan 40 kilometer sejam. Malah, memandu sambil bermain telefon bimbit turut membahayakan,” kata pelakon itu ketika membalas satu daripada komen pengikutnya.

Tambah Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, dia tidak menjadikan dirinya sebagai ikutan, sebaliknya berpendapat mereka yang sudah mahir bersolek pasti mengetahui cara dan langkah supaya tidak membahayakan mana-mana pihak.

Berita Harian X