Sabtu, 15 Jun 2019 | 7:47pm
PELAKON, Remy Ishak, berkongsi cerita kehilangan kameranya di laman Instagram beliau, semalam.

'Tak sangka jumpa semula'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Remy Ishak, menghela nafas lega apabila kamera berteknologi tinggi miliknya yang tertinggal di lapangan terbang Sapporo Chitose, Jepun, berjaya ditemui.

Remy berkata, pada mulanya dia tidak meletakkan harapan untuk mendapatkan semula kamera terbabit.

“Saya menyedari kehilangan kamera berkenaan sewaktu hendak menyunting video yang sudah dirakamkan selepas pulang ke tanah air.

“Hendak dijadikan cerita, kamera itu berada bersama saya sepanjang masa di sana. Tentunya saya terkilan kerana memori ketika berada di Jepun tidak dapat ditukar ganti. Pemandangan di sana indah sekali.

“Apabila berkongsi mengenai kehilangan kamera itu di Instagram, semalam, ramai yang tampil memberikan cadangan, selain berkongsi pengalaman masing-masing ketika berdepan situasi sama. Alhamdulillah, rezeki saya untuk terus mengabdikan kenangan bersama kamera itu,” katanya.

Pelakon itu turut berkongsi berita gembira berkenaan di laman sosialnya, beberapa jam lalu.


REMY dan Mira ketika berada di Hokkaido, Jepun, untuk menjayakan kempen sebuah jenama terkemuka. - Foto Instagram Remy Ishak

Selain peminat, pelakon gandingannya dalam beberapa drama dan filem, Mira Filzah, turut berkongsi rasa sedih dengan kehilangan kamera yang sempat digunakan bagi merakamkan video serta gambar ketika menjayakan kempen sebuah produk di Hokkaido itu.

Kamera Osmo Pocket menjadi sebahagian gaya hidup terkini warganet kerana teknologinya yang tinggi dan dipersembahkan dalam bentuk ringkas serta ringan.

11274 dibaca
Berita Harian X