Jumaat, 14 Jun 2019 | 10:02pm
PELAWAK, Abam, berkongsi berita gembira kelahiran anak sulungnya menerusi Instagram beliau, sebentar tadi.
ABAM bersama isteri, Norhidayah Mohd Ali, ketika meraikan Aidilfitri, baru-baru ini. - Foto Instagram Abam

Abam timang anak lelaki

KUALA LUMPUR: Pelawak, Abam, 31, menimang cahaya mata sulung apabila isterinya, Siti Norhidayah Mohd Ali, 28, selamat melahirkan anak lelaki di Hospital Selayang, hari ini.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan berkongsi berita gembira berkenaan di Instagramnya, sebentar tadi.

“Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan anak lelaki. Allahuakbar... Allahuakbar!!! Terima kasih (kepada mereka) yang sudi mendoakan keselamatan isteri dan anak saya,” tulisnya.

Perkongsian berkenaan turut disertakan sekeping gambar yang memaparkan sebahagian wajah si kecil.

Tanpa memaklumkan butiran lanjut mengenai kelahiran anaknya, Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2015 itu bagaimanapun meluahkan penghargaan terhadap doktor dan jururawat yang menjaga isterinya dengan baik.

“Terima kasih jururawat dan doktor di Hospital Selayang. Anda semua terbaik. Alhamdulillah, Subhanallah… Masya-Allah,” katanya lagi.

Abam dan Siti Norhidayah diijabkabulkan pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Selangor.

Pelawak berasal dari Gombak itu turut menyertakan tanda pagar #sayadahjadiayah dan #ABAMjunior pada perkongsiannya itu.

Berita Harian X