Jumaat, 14 Jun 2019 | 3:45pm
ERMA mendakwa terpaksa bersuara kerana tidak mahu maruah adiknya terus diperkotak-katik. Foto Nurul Shafina Jemenon

'Saya takkan berdiam jika membabitkan maruah'

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah, Erma Fatima mendakwa, terpaksa bersuara di laman sosial dalam kemelut membabitkan Datin Seri Umie Aida kerana tidak mahu maruah adiknya terus diperkotak-katik.

Erma berkata, dia tidak mampu berdiam diri dalam hal membabitkan maruah, meskipun terpaksa menelan tuduhan warganet yang menganggapnya sebagai pendendam dan pendengki.

“Apabila membabitkan maruah, takkan saya mahu berdiam lagi? Orang boleh cakap apa sahaja kerana mereka tidak melaluinya,” katanya, susulan luahan perasaan Umie menerusi Instagram, awal pagi tadi mengenai sabar dan doa, pasti Allah akan memberi jawapannya.

Erma yang menurunkan komen pedas terhadap luahan adiknya itu bagaimanapun, diserang warganet yang menganggap, kenyataannya ibarat menuang minyak dalam api yang sedang marak.

Pelakon dan pengarah drama Mak Cun itu menyifatkan, apa yang berlaku seharusnya dijadikan pengajaran oleh semua, meskipun caranya itu dianggap kebudak-budakan oleh warganet.

“Maaf, saya bukan mahu jadi budak-budak, malah isu ini tidak pernah saya perkatakan secara terbuka di media sosial sebelum ini.

“Saya tidak boleh tahan apabila perkara ini sudah dua tahun berlaku. Saya tidak minat dengan permainan media sosial, tetapi orang itu yang minta,” dakwanya.

Terdahulu, Umie menimbulkan persoalan pelbagai pihak apabila membuat luahan perasaan di Instagram mendakwa, dirinya dikhianati sahabat baik.

Meskipun tidak menyebut individu yang dimaksudkan, ramai mengaitkan isu itu dengan Erra, terutama apabila masing-masing tidak lagi mengikuti antara satu sama lain di Instagram.

Persoalan itu bagaimanapun, terjawab tengah hari tadi apabila Erra atau nama penuhnya, Fazira Wan Chek, 45, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Umie kerana menyakiti hati sahabatnya itu.

Pelakon filem Polis Evo 2 itu juga berharap, pengakuannya itu dapat menghentikan perbalahan semua pihak, termasuk warganet.

Berita Harian X