Khamis, 13 Jun 2019 | 4:10pm

Bapa pesan jaga adab - Khir Rahman

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Khir Rahman berkata, arwah bapanya, Datuk A Rahman Hassan selalu mengingatkan dia dan adiknya supaya menjaga adab serta nilai kesopanan dalam menjalani kehidupan harian.

Khir berkata, itu antara amanat yang sering diluahkan arwah, bukan hanya kepada darah dagingnya, malah pesanan serupa turut disampaikan kepada mereka yang rapat dengannya.

"Ayah seorang yang tenang dan tidak pernah meninggikan suara. Arwah juga mementingkan kekemasan dan sangat disenangi orang lain kerana sikapnya itu. Peribadinya itu menjadi contoh kepada kami,” kata bintang filem Rock itu.

Khir turut memaklumkan, arwah bapanya juga tegas dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu yang tepat.

“Boleh dikatakan bapa ialah orang bahasa. Beliau terkilan apabila melihat atau mendengar penggunaan bahasa Melayu rojak dan ditutur sesuka hati," katanya.

Khir atau nama sebenarnya, Khairulizam, 47, berkata, arwah bapanya juga begitu teruja untuk meraikan ulang tahun kedua cucunya, hari ini, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila dijemput Ilahi, pada jam 12.40 tengah malam tadi.

Khir berkata, bapanya sempat meluahkan hasrat supaya sambutan hari jadi cucu lelakinya diadakan di rumahnya ketika mereka bersama-sama menyambut 1 Syawal, baru-baru ini.

“Anak buah saya, Irwanshah Khairulazmi genap dua tahun, hari ini dan arwah berseloroh dengan anak adik bongsu saya meminta supaya majlis potong kek dibuat di kediamannya.

“Tidak sangka, ia menjadi petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya pada tarikh sama iaitu 13 Jun,” katanya.

Penyanyi popular era 1960-an itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada usia 73 tahun akibat pendarahan pada bahagian otak, tengah malam tadi.

Selain Khir yang mengikut jejak langkahnya dalam arena seni, A Rahman turut dikurniakan dua lagi anak iaitu Khairulilmi dan Khairulazmi hasil perkahwinan pertamanya dengan Allahyarham Datin Azizah Mohamad.

Bagaimanapun, anak keduanya meninggal dunia pada 2016 akibat kanser, manakala isterinya pula menghembuskan nafas terakhir, enam tahun lalu kerana kanser pangkal rahim.

Allahyarham mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan pelakon, Datin Fadilah Mansor pada Disember 2014.


Khir Rahman menyiram air mawar di pusara arwah ayahnya di Tanah Perkuburan Islam, Taman Keramat. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Jenazah dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam, Taman Keramat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut kelihatan rakan artis, termasuk Datuk Yusof Haslam, Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Fauziah Nawi, Noorkumalasari, Imuda, Herman Tino, Hail Amir, Bagio dan Zed Zaidi.

Selain itu, artis muda seperti Mark Adam dan Lan Solo turut mengiringi jenazah hingga selesai pengebumian bersama lebih 300 ahli keluarga dan sahabat.

4148 dibaca
Khir sentiasa memegang amanat bapanya supaya menjaga adab dan nilai kesopanan dalam menjalani kehidupan harian. Foto BERNAMA
Berita Harian X