Khamis, 13 Jun 2019 | 1:33pm
FADILAH menyifatkan arwah suaminya sebagai lelaki budiman dan penyayang. Foto IG Datin Fadilah Mansor

'Arwah teruja dapat pulang beraya di kampung'

KUALA LUMPUR: Isteri Allahyarham Datuk A Rahman Hassan, Datin Fadilah Mansor, bersyukur hasrat arwah suaminya untuk pulang beraya di kampung pada 1 Syawal lalu disempurnakan anaknya.

Katanya, walaupun kurang bertenaga disebabkan masalah paru-paru berair dan lemah jantung, arwah tetap bersemangat, terutama ketika tiba di rumah satu-satunya ibu saudara di Larkin, Johor, minggu lalu.

“Ketika dimasukkan ke hospital pada bulan puasa lalu, Allahyarham ada menyuarakan hasrat mahu balik ke Johor melawat adik arwah ayahnya yang sudah mencecah usia 87 tahun.

“Sebelum ini, arwah suka memandu sendiri, tetapi kali ini hanya menjadi penumpang kerana faktor kesihatannya. Tetapi, saya boleh nampak keterujaan arwah sepanjang perjalanan pulang.

“Alhamdulillah, hajatnya dimakbulkan pada hari raya kedua, malah ramai saudara-mara di Johor datang menziarahinya di hotel penginapan. Mereka tahu arwah mudah penat dan masih bergantung kepada ubat-ubatan untuk membuang air daripada paru-paru.

“Begitu juga pada 1 Syawal yang diraikan di Kuala Lumpur. Ramai saudara dan kenalan bertandang untuk bersalaman, sambil bertanya khabar. Sebelum dimasukkan ke hospital kali kedua, arwah begitu bersemangat mahu menziarahi iparnya iaitu kakak kepada Allahyarham Datin Azizah Mohamad,” katanya.

Penyanyi popular era 1960-an itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, jam 12.40 tengah malam tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung.

Terdahulu, Allahyarham dikejarkan semula ke hospital pada malam Isnin lalu selepas pulang beraya dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila tidak sedarkan diri ketika singgah di sebuah stesen minyak di Ampang.

Arwah yang dibawa ke hospital menaiki ambulans disahkan mengalami pendarahan dalam otak dan bergantung kepada bantuan mesin pernafasan.

Sebelum ini, A Rahman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima hari, susulan masalah jantung yang berpunca daripada paru-paru berair, namun dibenarkan pulang sehari menjelang Aidilfitri.

Jenazah dibawa pulang ke rumah di Taman Sri Ukays, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi tadi, seterusnya disembahyangkan pada jam 12 tengah hari.

Jenazah dibawa ke Masjid Al Ansar, Taman Keramat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas Zuhur.

Tanah perkuburan itu turut menempatkan pusara isterinya, Allahyarham Datin Azizah Mohamad yang meninggal dunia pada 26 April 2013.

Allahyarham, 73, meninggalkan Fadilah, 59, yang dinikahi pada 25 Disember 2014 serta dua anak hasil perkahwinannya dengan Azizah iaitu Khairulizam dan Khairulazmi.

Sebelum itu, empat tahun lalu anak keduanya, Khairulilmi meninggal dunia berikutan kanser.


KENANGAN A Rahman bersama keluarga pada sambutan 1 Syawal, baru-baru ini. Foto IG Datin Fadilah Mansor

Menyentuh mengenai peribadi arwah, Fadilah menyifatkan, suaminya sebagai lelaki yang sangat budiman dan tidak pernah meninggikan suara, apatah lagi bercakap kasar.

“Keperibadiannya memang menjadi contoh kepada kami, terutama anak yang melihatnya sebagai idola. Beliau seorang yang penyayang dan tidak pernah meninggikan suara, walaupun tegas serta mementingkan disiplin.

“Sebagai isteri, saya reda dengan pemergiannya. Allahyarham suami yang baik, malah pemergiannya meninggalkan legasi tersendiri dalam industri muzik,” katanya.

6519 dibaca
Berita Harian X