Khamis, 13 Jun 2019 | 1:00pm
MASIH aktif sebagai pengacara, Jimmy bagaimanapun, enggan kehidupan peribadinya menjadi perhatian. Foto Khairul Azhar Ahmad

Zaman kejar nama sudah berlalu - Jimmy Shanley

KUALA LUMPUR: Pengacara Jimmy Shanley mengakui, dia tidak terlalu aktif di media sosial kerana enggan kehidupan peribadinya menjadi perhatian.

Jimmy atau nama sebenarnya, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 38, juga tidak kisah jika namanya tidak sebaris bakat popular lain kerana fokusnya kini hanya keluarga dan kerjaya.

“Saya pernah merasai zaman popular, malah kehidupan peribadi saya turut mendapat perhatian umum. Cukuplah dahulu kerana semua itu sudah berlalu.

“Fokus saya sekarang hanya keluarga, selain kerjaya sebagai pengacara program rangkaian beli belah, CJ Wow Shop. Biarpun mempunyai akaun media sosial, saya tidak terlalu aktif kerana lebih selesa begini.

“Mungkin juga kerana faktor usia, selain sudah berkeluarga membuatkan saya tidak lagi memikirkan soal populariti. Lagipun, saya sudah puas merasai semua itu dahulu,” katanya.

Jimmy yang bertemu jodoh buat kali kedua dengan Mariam Jamilah Abdul Jalil, lima tahun lalu berkata, pada usianya kini adalah masa terbaik untuk dia berada di sisi keluarga.

Bekas pengacara Trek Selebriti itu berkata, peluang mengendalikan program CJ Wow Shop memberinya lebih ruang untuk bersama dua anaknya yang masih memerlukan perhatian.

Sebagai bapa, Jimmy berkata, dia seronok dan puas menguruskan anaknya sendiri, tanpa terlalu bergantung kepada isterinya.

“Saya berusaha menguruskan jadual kerja sebaik mungkin kerana mahu meluangkan lebih masa dengan anak. Saya seronok menyiapkan dan menghantar anak ke sekolah, malah sentiasa menemani ketika mereka mahu melelapkan mata.

“Saya tidak mahu ketinggalan melihat mereka membesar. Kemunculan di skrin televisyen juga membantu saya untuk mendekati anak sulung hasil perkahwinan pertama. Hanya itu sahaja cara dia mengenali saya,” katanya.

Jimmy mendirikan rumah tangga dengan Mariam pada 7 Jun 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata, Hannah Shanley, 4, serta Lisa Shanley, 1.

Menerusi perkahwinan pertamanya dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy pada 1 Oktober 2010, Jimmy dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahrah Rania Shanley, 8. Mereka bagaimanapun, berpisah pada Oktober 2012.

2603 dibaca
Berita Harian X