Khamis, 13 Jun 2019 | 11:25am
ANTARA rakan dan ahli keluarga yang hadir membacakan surah Yassin untuk arwah Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan. - Foto Khairul Azhar Ahmad
ANTARA rakan dan ahli keluarga yang hadir membacakan surah Yassin untuk arwah Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Penghormatan terakhir kepada Allahyarham A Rahman Hassan

KUALA LUMPUR: Lebih 100 ahli keluarga, sanak-saudara dan kenalan Allahyarham Datuk A Rahman Hassan mula mengunjungi kediaman penyanyi era 1960-an itu di Taman Sri Ukay di sini, bagi memberi penghormatan terakhir.

Antara yang hadir sejak awal pagi termasuk teman seperjuangan Allahyarham iaitu Datuk Jeffrydin serta pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam dan Othman Hafsham.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun di Hospital Ampang (HA), dekat sini, pada jam 12.40 malam tadi, akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fadilah Mansor dan dua anak iaitu Khairulizam (Khir Rahman) dan Khairulazmi.

Anak kedua arwah, Allahyarham Khairul Ilmi meninggal dunia pada 2016 akibat kanser.


DATUK Yusof Haslam (kanan) ditemani anak arwah, Khir Rahman hadir beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham A Rahman Hassan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Anak sulungnya, Khir berkata, jenazah dibawa pulang ke rumah kira-kira jam 4.30 pagi sebelum disembahyangkan kariah Surau Taman Sri Ukays.

"Kariah kawasan ini akan mengadakan solat jenazah di rumah kira-kira jam 12 tengah hari sebelum dibawa ke Masjid Al Ansar.

"Urusan pengebumian dijangka dapat disempurnakan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Taman Keramat," katanya kepada BH Online.

Tanah perkuburan itu turut menempatkan pusara isterinya, Allahyarham Datin Azizah Mohamad yang meninggal dunia pada 2013.

Terdahulu, A Rahman yang dikejarkan ke hospital pada malam Isnin lalu, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas tidak sedarkan diri.

Doktor mengesahkan berlaku pendarahan dalam otak yang memerlukan arwah bergantung kepada mesin pernafasan.

Sebelum ini, arwah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah jantung. Bagaimanapun, arwah dibenarkan pulang sehari menjelang Aidilfitri.

3668 dibaca
Berita Harian X