Khamis, 13 Jun 2019 | 11:00am
PENYANYI, Ifa Raziah, bimbang andai dirinya dianggap menjaja cerita kosong untuk merakamkan lagu baharu ciptaan komposer Indonesia. - NSTP/Aziah Azmee

Ifa 'naik hantu' lagu baharu belum siap

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ifa Raziah mengakui ‘naik hantu’ dengan seorang komposer yang juga penyanyi dari negara jiran kerana gagal melunaskan janji untuk menyiapkan lagu terbarunya.

Ifa mendakwa, selepas enam bulan menunggu, lagu terbabit belum diterima olehnya sedangkan wang pendahuluan sudah diberikan kepada pencipta berkenaan.

“Saya bimbang jika orang ramai beranggapan saya hanya menjaja cerita kosong kononnya mahu keluar dengan lagu baharu, tetapi akhirnya ‘habuk’ pun tiada.

“Kalau setakat enam minggu tertunda, mungkin saya masih boleh bertimbang rasa. Tetapi, selepas enam bulan menunggu, lagu yang dijanjikan tidak juga kunjung tiba. Saya juga jadi cuak kerana wang sudah didahulukan kepadanya bagi kerja penghasilan lagu berkenaan.

“Dia memberikan alasan konon jadual kerjanya begitu padat dan tidak mempunyai ilham untuk menghasilkan lagu seperti diinginkan. Jadi, berapa lama lagi saya perlu menanti?” luahnya kepada BH Online.

Berikutan itu, Ifa, 43, yang turut aktif dalam bidang perniagaan memutuskan untuk segera berjumpa dengan komposer terbabit.

“Apabila saya ‘naik hantu’, barulah dia menggelabah. Dia mungkin fikir saya tidak kisah apabila tak bertanyakan mengenai perkara itu, sebelum ini, kerana sibuk dengan pelbagai perkara.

“Jika tiada aral, dia akan terbang ke Malaysia dalam masa terdekat, untuk berbincang lebih lanjut mengenai hala tuju dan konsep lagu berkenaan,” katanya sambil mengakui perlu tampil dengan single baharu, tahun ini.

Kali akhir penyanyi itu muncul dengan single adalah pada 2016 menerusi lagu berjudul Terus Terang.

November tahun lalu, Ifa mendedahkan perancangannya merakamkan karya ciptaan komposer yang sebelum ini menghasilkan lagu untuk usahawan kontroversi, Safiey Ilias, berjudul Syinta Gila.

947 dibaca
Berita Harian X