Rabu, 12 Jun 2019 | 2:20pm
AZWAN ditemani anaknya, Harum Dahlia ketika menerima rawatan selepas mengadu sukar bernafas. Foto IG Ezzaty Abdullah

Kurang rehat, Azwan Kombos masuk hospital

KUALA LUMPUR: Pelakon Ezzaty Abdullah, bersyukur keadaan kesihatan suaminya, Azwan Kombos kembali stabil selepas mengadu sukar bernafas sejak kelmarin.

Ezzaty berkata, dia segera membawa Azwan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Damansara, semalam selepas melihat keadaan suaminya semakin lemah dan kurang bermaya.

“Azwan menghidap asma sejak kecil, namun terkawal. Keadaannya bagaimanapun, agak lemah selepas menjemput saya pulang daripada beraya di Bentong, Pahang.

“Melihat keadaannya yang agak membimbangkan, saya segera membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Alhamdulillah, keadaannya kembali stabil dan Azwan juga sudah boleh bernafas dengan selesa,” katanya.

Ezzaty tidak menolak, faktor kurang rehat disebabkan terlalu sibuk bekerja, selain tidak mengawal pemakanan pada musim raya menyebabkan kesihatan suaminya merosot.

“Azwan tidak bercuti lama dan sudah kembali ke lokasi penggambaran drama, kelmarin. Sebelum itu, dia ada memaklumkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana tidak selesa bernafas.

“Tetapi, apabila terlalu lama menunggu untuk mendapatkan rawatan, Azwan mengambil keputusan pulang dahulu ke rumah. Mungkin terlalu penat hingga menyebabkan dia sukar bernafas,” katanya.

Ezzaty dan Azwan mendirikan rumah tangga pada Julai 2016. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Harum Dahlia.

Berita Harian X