Rabu, 12 Jun 2019 | 9:00am
Yuna menasihatkan peminat berkelakuan baik ketika berkunjung ke lokasi video muzik Forevermore yang kini menjadi tarikan baharu terutama di Perlis, untuk bergambar. Foto NSTP Muhd Zaaba Zakeria

'Boleh tengok, jangan ceroboh'

KUALA LUMPUR: Penangan video muzik Forevermore, hampir semua lokasi pilihan Yuna yang melatari klip berkenaan di Perlis, menjadi sasaran peminat hingga mula menimbulkan masalah kepada pemilik premis terbabit.

Dalam kes terbaru, pengusaha sebuah stesen minyak di Kangar, meminta kerjasama penyanyi mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) itu untuk menasihatkan peminat agar tidak memanjat pagar di lokasi berkenaan.

Dalam reaksi balasnya, Yuna menasihatkan peminat agar tidak terlalu agresif hingga memanjat pagar selain menghormati pemilik stesen minyak terbabit.

“Kepada semua peminat yang melawat lokasi video muzik Forevermore di Perlis termasuk stesen minyak di Kangar, tolong hormat pemilik premis terbabit dan jangan memanjat pagar.

“Tolong berkelakuan baik dan jangan menceroboh. Mari kita saling hormat menghormati... Peace & Love!” kongsinya di laman Twitter.

Sejak video muzik Forevermore dilancarkan dua bulan lalu, lokasi yang dipaparkan dalam klip itu sering menjadi tumpuan ramai terutama pada cuti Aidilfitri lalu.

Antara yang menarik perhatian adalah stesen minyak ‘retro’ di Kangar yang menjadi lokasi atau ‘spot’ merakam foto untuk Instagram (IG) bagi kebanyakan peminat Yuna.

Pengusaha stesen minyak terbabit membuat aduan selepas mendapati orang awam memasuki premis berkenaan dengan memanjat pagar.

Usahawan terbabit meluahkan:

“Hai Yuna, saya pemilik stesen minyak dalam video muzik kamu. Boleh tolong retweet? Saya naikkan status ini di Twitter kerana ingin meminta bantuan kamu.

“Tolong beritahu orang ramai, jika mahu merakamkan foto, tolong jangan panjat pagar kami. Seorang buat, yang lain pasti mengikut,” katanya.

Antara lokasi dalam video muzik Forevermore yang ‘diserbu’ peminat Yuna adalah Empangan Timah Tasoh, sawah padi di Bukit Keteri dan Kampung Pengkalan Asam di Perlis, selain Batu Caves, Kuala Lumpur dan Stadium Shah Alam, Selangor.

2509 dibaca
Berita Harian X