Rabu, 5 Jun 2019 | 11:00am
Syamel teringat kenangan menyambut Aidilfitri bersama arwah datuk yang menjaga dirinya sejak kecil. - Foto NSTP Azhar Ramli

Syamel sebak rai Syawal tanpa datuk

KUALA LUMPUR: Dalam keseronokan menyambut Aidilfitri, penyanyi bersuara mantap, Syamel mengakui terselit duka apabila buat kali pertama meraikannya tanpa datuk tersayang.

Syamel mengaku sedih mengenang arwah datuk yang pergi meninggalkan keluarga sebelum Ramadan lalu.

“Saya sangat terkilan kerana arwah menjaga saya sejak kecil. Tidak dapat saya bayangkan perasaan berhari raya tanpa datuk.

“Janggal rasanya. Jadi, raya tahun ini diraikan dengan sederhana. Apabila dikenang kembali, memang sedih sangat, tetapi saya reda dengan pemergiannya,” luah pemilik nama sebenar, Syameel Aqmal Mohd Fodzly itu.

Bersyukur rezekinya murah sepanjang tahun ini, Syamel berkata, seperti teman duetnya, Ernie Zakri, dia merancang mengadakan rumah terbuka.

“Acara ini bertujuan merapatkan lagi silaturahim dengan peminat yang selama ini banyak menyokong kerjaya seni saya.

“Lama tidak berkumpul dengan mereka. Saya harap semua yang diundang dapat datang untuk memeriahkan majlis ini,” kata penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Kau Pun Sama itu.

Beralih perbualan mengenai pembikinan lagu raya, Seru Hari Lebaran, duetnya bersama Ernie, Syamel berkata, bukan calang-calang penyanyi berpeluang merakamkan lagu ciptaan komposer legenda, S Atan.

Syamel yang agak cerewet dalam pemilihan lagu raya mengakui, dia tertarik dengan sentuhan S Atan kerana melodinya yang klasik.

“Sebelum ini, saya dapat banyak lagu raya, tetapi saya tolak kerana melodinya tidak serasi dengan jiwa. Bagi saya, lagu raya perlu ada elemen klasik dan sentuhan tradisional.

“Saya mahu apabila mendengarnya, ia mengimbau kenangan yang pernah dilalui. Sebaik sahaja mendapat demo Seru Hari Raya, saya terus terima kerana ia mempunyai kriteria yang saya inginkan.

“Harapan saya, sekurang-kurangnya lagu ini masih diingati pada musim Aidilfitri akan datang. Kalau ia mampu berada dalam senarai lagu malar segar, kami anggap ia sebagai bonus,” katanya.

Berita Harian X